Import hidupan liar diharamkan di Sarawak – SFC

Import hidupan liar diharamkan di Sarawak – SFC

KUCHING,. Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hari ini mengumumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang permit mengimport hidupan liar eksotik yang hidup ke negeri itu, sehingga diberitahu kelak.

Pengawal Hidupan Liar SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata langkah itu bertujuan melindungi spesies hidupan liar berasal dari Sarawak dari ancaman yang boleh dibawa oleh haiwan eksotik luar negara yang dibawa masuk secara haram untuk dipelihara sebagai haiwan peliharaan.

“Sekiranya (haiwan hidup ini) diimport secara haram, haiwan peliharaan eksotik itu tidak akan melalui pemeriksaan kesihatan veterinar atau awam.

“Ia mungkin mempunyai virus yang tidak diketahui atau lain-lain patogen yang boleh merebak di kedai haiwan peliharaan serta rumah penduduk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh SFC.

Beliau berkata apabila haiwan peliharaan eksotik diimport itu dilepaskan ke hutan atau laluan air di negeri ini, mereka akan menghabiskan sumber makanan haiwan tempatan dan yang lebih agresif akan membunuh spesies tempatan sehingga menyebabkan pengurangan jumlah haiwan asal.

“Penurunan besar dapat dilihat contohnya terhadap spesies burung munia yang disebabkan kemasukan Eurasian Tree Sparrow (burung padi) yang eksotik,” katanya.

Zolkipli berkata SFC akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kawalan sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengawal penyeludupan spesies eksotik ke negeri ini.

Katanya penyitaan akan dilakukan di kawasan kawalan sempadan seperti lapangan terbang, pelabuhan, pusat pemeriksaan kastam dan juga kedai haiwan peliharaan yang tidak memiliki lesen atau permit yang sah.

“Dalam tempoh enam bulan ini, SFC akan menandakan binatang liar eksotik yang berlesen di Sarawak dan menjalankan pemeriksaan kesihatan verterinar ke atas haiwan ini,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This