Indeks harga pengeluar Malaysia terus sederhana pada 6.8 peratus pada Ogos 2022

Indeks harga pengeluar Malaysia terus sederhana pada 6.8 peratus pada Ogos 2022

KUALA LUMPUR,. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan pada Ogos 2022 terus sederhana untuk mencatatkan kenaikan 6.8 peratus berbanding 7.6 peratus pada Julai 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan bacaan lebih rendah itu disumbangkan oleh indeks pembuatan dengan 9.4 peratus (Julai 2022: 9.9 peratus), diikuti indeks perlombongan yang meningkat 5.8 peratus namun lebih rendah berbanding 9.0 peratus yang direkodkan pada Julai 2022.

“Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan penurunan negatif 10.6 peratus pada Ogos 2022 berbanding negatif 10.3 peratus pada Julai 2022,” menurut DOSM dalam kenyataan mengenai IHPR Malaysia Ogos 2022 yang dikeluarkan pada Khamis.

Jabatan itu menambah, indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing mencatatkan kenaikan 3.0 peratus dan 0.9 peratus pada Ogos 2022.

Menurut DOSM, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan penurunan selama tiga bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 0.2 peratus pada Ogos 2022 berbanding negatif 2.3 peratus pada Julai 2022, disebabkan indeks perlombongan yang merekodkan kejatuhan negatif 3.7 peratus (Julai 2022: -3.6 peratus).

“Selain itu, indeks pembuatan turut mencatatkan penurunan negatif 0.1 peratus pada Ogos 2022. Ia mencatatkan kejatuhan kali pertama sejak September 2020 (-0.2 peratus) setelah mencatatkan kenaikan selama 22 bulan berturut-turut.

“Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.5 peratus (Julai 2022: -22.3 peratus). Bagi indeks utiliti iaitu indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 0.1 peratus,” menurutnya.

DOSM menjelaskan, bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun buat kali pertama sejak Januari 2021, dengan negatif 0.5 peratus pada Ogos 2022.

Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 11.3 peratus, diikuti indeks barang siap dengan kenaikan 2.9 peratus, tambahnya.

“Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun negatif 1.0 peratus, diikuti indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.1 peratus). Namun begitu, indeks barang siap meningkat 0.3 peratus,” jelas DOSM.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This