Indeks nilai seunit eksport naik 1.3 peratus, import susut 0.5 peratus pada Januari

Indeks nilai seunit eksport naik 1.3 peratus, import susut 0.5 peratus pada Januari

KUALA LUMPUR,. Indeks nilai seunit eksport Malaysia kekal positif bagi empat bulan berturut-turut sejak Oktober 2021, meningkat 1.3 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagaimanapun, nilai seunit import susut 0.5 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), Januari 2022 yang dikeluarkan hari ini.

“Peningkatan prestasi itu didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran iaitu 3.3 peratus, minyak galian 2.1 peratus serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan 1.3 peratus.

“Selain itu, indeks volum eksport susut 11.8 peratus pada bulan sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang iaitu 15.4 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (11.4 peratus) dan minyak galian (7.8 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata indeks volum eksport pelarasan bermusim pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus kepada 155.1 mata daripada 154.4 mata.

Menurutnya, berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.5 peratus dan 7.0 peratus.

Dalam pada itu, indeks nilai seunit import susut 0.5 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian 4.6 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan 0.3 peratus dan bahan kimia 0.2 peratus.

Beliau berkata, indeks volum import turut susut 0.04 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh kejatuhan pelbagai barang keluaran kilang sebanyak 4.2 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan 2.8 peratus dan bahan mentah tidak boleh dimakan 0.3 peratus.

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Januari 2022 meningkat 1.5 peratus daripada 166.8 mata kepada 169.3 mata.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 7.1 peratus dan 18.1 peratus,” katanya.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.9 peratus bulan ke bulan kepada 109.1 mata pada Januari 2022.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 7.9 peratus daripada 101.1 mata pada Januari tahun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This