India naikkan cukai import minyak sawit ditapis Malaysia 5%
MUMBAI/NEW DELHI,. India menaikkan cukai minyak sawit ditapis Malaysia kepada 50 peratus daripada 45 peratus selama enam bulan untuk membendung import dan meningkatkan syarikat penapisan tempatan.
Pengimport minyak makan terbesar dunia kini mengenakan cukai import sebanyak 40 peratus ke atas minyak sawit mentah (MSM) dan 50 peratus ke atas minyak sawit ditapis.
Tetapi sejak Januari, penghantaran minyak sawit ditapis dari Malaysia dikenakan cukai 45 peratus, di bawah perjanjian dengan Malaysia.
Ini mengurangkan perbezaan berkesan dalam cukai antara MSM dan minyak sawit ditapis dari Malaysia bagi pemprosesan India kepada 5.5 peratus daripada 11 peratus, menjadikan pembelian sawit luar negara lebih menguntungkan.
Ini menjurus kepada lonjakan 727 peratus dalam eksport minyak sawit ditapis Malaysia ke India pada separuh pertama 2019 kepada 1.57 juta tan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, demikian menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Badan perdagangan yang berpangkalan di Mumbai, Solvent Extractors’ Association of India berkata peningkatan penghantaran minyak sawit ditapis memberi kesan kepada penapis tempatan dan memfailkan permohonan dengan Ketua Direktorat Pemulihan Perdagangan untuk siasatan.
Badan pemantau itu minggu lalu mengesyorkan menaikkan cukai import ke atas produk ditapis.
India berkata duti 50 peratus ke atas produk ditapis akan terpakai sehingga 2 Mac 2020.
Kenaikan cukai ke atas minyak sawit ditapis akan mendorong pembeli India untuk beralih kepada minyak sawit mentah, kata Sandeep Bajoria, Ketua Eksekutif Sunvin Group, pengimport minyak sayuran di Mumbai.
“Mengimport minyak sawit ditapis tidak lagi menarik. Mulai Oktober import MSM dijangka meningkat dan sawit ditapis akan turun,” katanya.
India mengimport minyak sawit terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Indonesia secara tradisi menguasai dua pertiga import minyak sawit India, tetapi pada separuh pertama 2019 Malaysia mengatasi Indonesia sebagai pembekal terbesar ke India kerana kelebihan dari aspek cukai. – Reuters