India rampas satu tan ketamin bernilai RM175 juta
NEW DELHI,. Pengawal pantai India merampas ketamin bernilai AS$42 juta (RM175 juta) dan menangkap enam lelaki Myanmar selepas mengesan kapal mencurigakan di Lautan Hindi berhampiran Kepulauan Nicobar.
Dadah seberat 1,160 kilogram itu dirampas selepas pesawat pengawal pantai mengesan bot berkenaan, yang lampunya dimatikan, Rabu lalu di Zon Ekonomi Eksklusif India, kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan.
Kru bot tidak membalas panggilan radio dan anggota pengawal pantai menyerbu kapal itu, menemui 57 bungkus bahan mencurigakan pada Jumaat.
“Analisis awal mendedahkan bahan mencurigakan itu adalah ketamin dan ada 1,160 bungkus seberat satu kilogram setiap satu di atas kapal itu,” kata kementerian.
Enam lelaki Myanmar dan kargo dibawa ke Port Blair, ibu kota Kepulauan Andaman dan Nicobar, untuk tujuan soal siasat.
Mereka mendakwa meninggalkan Myanmar pada 14 September lalu dan dijangka bertemu dengan bot lain yang beroperasi berhampiran garisan sempadan maritim Thailand-Malaysia kelmarin, menurut kenyataan kementerian.
Kepulauan Nicobar terletak berhampiran Asia Tenggara, di luar pantai Myanmar.
Sebahagian Myanmar, Laos dan Thailand berada dalam zon ‘Segi Tiga Emas’, rantau pengeluar dadah kedua terbesar dunia selepas Amerika Latin. — AFP