Indonesia bakal wujudkan pejabat utusan khas mengenai Myanmar

Indonesia bakal wujudkan pejabat utusan khas mengenai Myanmar

JAKARTA,. Pengerusi ASEAN, Indonesia akan menubuhkan pejabat utusan khas untuk menangani krisis pascarampasan kuasa di Myanmar, lapor Agensi Berita Vietnam memetik Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

Retno berkata pejabat utusan khas yang akan diterajui oleh beliau itu adalah penting untuk membolehkan dialog nasional diadakan bagi menangani krisis yang sedang berlaku.

Selaku Pengerusi ASEAN untuk 2023, beliau berkata Indonesia akan bekerja mengikut konsensus lima perkara – merujuk kepada rancangan badan serantau itu untuk meletakkan Myanmar kembali ke landasan demokrasi.

Retno berkata ASEAN juga akan terus bekerjasama dengan utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu Myanmar.

Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Feb 2021 dan sejak itu telah melakukan kekerasan, penahanan sewenang-wenang dan serangan yang menyasarkan orang awam, menurut PBB dan kumpulan hak asasi manusia.

Lebih 2,700 orang terbunuh dan lebih 17,000 telah ditahan di Myanmar, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik yang berpangkalan di Thailand.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This