Indonesia sahabat sejati, harap pertingkat hubungan Malaysia-Indonesia

Indonesia sahabat sejati, harap pertingkat hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyifatkan Indonesia sebagai sahabat sejati kepada Malaysia dan berharap kedua-dua negara dapat mempertingkatkan hubungan dalam pelbagai aspek termasuk perdagangan dan pelaburan.

Beliau yang menyampaikan perkara berkenaan menerusi perbualan telefon dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, juga berharap, kedua-dua negara dapat menyelesaikan isu pekerja.

“Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang dan bisnis, investasi (pelaburan), budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” menurut Anwar menerusi perkongsian di Facebook rasminya, semalam.

Menurut catatan itu juga, pemimpin Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi menjadi ketua negara yang pertama menghubungi Anwar untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

Anwar, 75, hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )