Indonesia sasar jadi destinasi penempatan modal

Indonesia sasar jadi destinasi penempatan modal

JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang melaksanakan inisiatif strategik untuk menubuhkan pejabat keluarga, entiti persendirian yang bertujuan menguruskan urusan perniagaan keluarga mewah, lapor Xinhua.

Langkah ini akan membolehkan individu berpendapatan tinggi dari pelbagai negara membuat pelaburan tanpa dibebani liabiliti cukai.

Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengarahkan pembentukan pasukan khas di bawah kepimpinan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, melibatkan beberapa kementerian dan Bank Dunia, untuk menilai skim pelaburan pejabat keluarga dan menyediakan peraturan serta infrastruktur yang diperlukan.

“Beberapa pelabur asing telah menunjukkan minat awal sebagai pendaftar pertama. Kami akan memberikan maklumat lebih terperinci dalam dua atau tiga minggu akan datang,” kata Luhut pada Jumaat.
Pejabat keluarga akan ditempatkan di Bali, sebuah pulau peranginan yang menarik pelancong dari seluruh dunia, serta di Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

Kira-kira US$11 trilion aset kewangan global kini dilaburkan di luar ekonomi asal mereka, kata Luhut, sambil menambah bahawa jumlah ini dijangka meningkat. Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Hong Kong adalah lokasi utama untuk dana ini.

Luhut merujuk kepada The Wealth Report, yang meramalkan bahawa bilangan individu berpendapatan tinggi di Asia akan meningkat sebanyak 38.34 peratus antara 2023 dan 2028, dengan peningkatan 34 peratus dijangka untuk Indonesia. Beliau juga menekankan bagaimana UAE, dengan lebih daripada 400 pejabat keluarga di Dubai yang mengendalikan bertrilion dolar, adalah perintis dalam penubuhan pusat pengurusan kekayaan.

“Indonesia, dengan pertumbuhan ekonominya yang kukuh, prospek pelaburan yang luas, dan dasar geopolitik yang neutral, mempunyai peluang untuk menarik pelaburan asing dan menjadi destinasi alternatif untuk penempatan modal,” katanya.

Selain memberi manfaat kepada individu berpendapatan tinggi, dana pelaburan akan digunakan untuk projek domestik, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Pekerjaan dijangka lebih banyak tersedia apabila peredaran modal dalam negara meningkat, membantu meningkatkan penggunaan tempatan dan menambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Luhut.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno, melihat pejabat keluarga sebagai peluang untuk Indonesia memperkukuh ekosistem pelaburan tempatan. Dengan menyokong inovasi dan keusahawanan dalam negara, pejabat keluarga boleh berfungsi sebagai pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

“Jika Indonesia dapat menarik hanya lima peratus, ia bermakna menarik lebih US$500 bilion dalam pelaburan, yang merupakan peluang besar,” kata Uno.

Bagaimanapun, menurut Telisa Aulia Felianty, profesor di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di Universiti Indonesia, terdapat cabaran yang perlu diatasi. Kerajaan mesti memastikan kepastian undang-undang, keselamatan data dan infrastruktur teknologi yang mencukupi untuk menarik pelabur meletakkan dana mereka di Indonesia. Beliau percaya keyakinan pelabur adalah kunci kejayaan pejabat keluarga di Indonesia.

Bhima Yudhistira daripada Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang menekankan kepentingan dasar cukai yang kompetitif dan infrastruktur kewangan yang kukuh, seperti yang terdapat di Singapura dan Hong Kong.

Selain itu, terdapat keperluan untuk perbezaan produk kewangan, seperti bon Berkaitan Kelestarian dan bon Matlamat Pembangunan Mampan, dalam sektor seperti kesihatan, infrastruktur, pendidikan dan telekomunikasi untuk menggalakkan pelaburan dalam pejabat keluarga, bersama dengan insurans khusus untuk individu berpendapatan tinggi, katanya.

Beliau berkata semua ini adalah langkah penting dalam membina ekosistem pelaburan yang kuat dan menarik untuk pelabur meletakkan dana mereka di Indonesia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This