Industri bola sepak negara tuju tahap lebih baik dengan penstrukturan Liga-M

Industri bola sepak negara tuju tahap lebih baik dengan penstrukturan Liga-M

KUALA LUMPUR,. Penstrukturan Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan saingan Liga Super bermula musim 2023 menandakan industri bola sepak negara menuju ke tahap lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang berkata ia merupakan satu tuntutan bukan sahaja bagi melahirkan ramai pemain profesional tetapi menambah nilai pemain tempatan.

Menurutnya, Malaysia ketika ini dilihat seolah-olah terkebelakang berbanding negara seperti Jepun, Arab Saudi dan Thailand berdasarkan gambaran diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Katanya ketiga-tiga negara itu masing-masing memiliki saingan liga domestik yang cukup profesional serta kelab-kelab yang bersaing di sana berada pada satu tahap tertinggi di rantau ini.

“Pastinya ia akan mengundang kepada kos lebih tinggi tetapi saya kira pihak MFL ada perancangan bersama rakan-rakan strategik untuk membincangkan bagaimana kita boleh atasi masalah kewangan,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga MFL.

Pada mesyuarat itu pada Rabu, MFL mengesahkan saingan Liga-M akan melalui penstrukturan yang menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim 2023.

Penstrukturan itu juga menyaksikan saingan Liga Simpanan diperkenalkan mulai musim depan melibatkan kesemua 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan tersebut, selain tambahan skuad Projek FAM-MSN sebagai pasukan ke-19.

Ia antara lain bagi menawarkan minit permainan lebih tinggi dan jumlah perlawanan kompetitif lebih banyak kepada pemain selain meningkatkan nilai komersial saingan liga tempatan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Pelaksanaan penstrukturan Liga-M itu juga menyaksikan setiap pasukan Liga Super 2023 akan beraksi 34 perlawanan semusim berbanding hanya 22 perlawanan ketika ini.

“Pastinya keputusan ini disambut baik Sri Pahang, insya-Allah dengan ada struktur baharu ini kita dapat mempersembahkan mutu permainan lebih baik dan memastikan kita melahirkan pemain tempatan terbaik untuk mewakili negara,” kata Mohammed Suffian.

Menyentuh mengenai saingan Liga Simpanan musim depan, beliau berkata ia akan memanfaatkan perkembangan pembangunan pemain muda dalam perjalanan mereka menembusi skuad utama beraksi di Liga Super.

“Ini akan menghasilkan kematangan kepada pemain yang dulunya beraksi di peringkat bawah umur 21 dan 23 dan prestasinya untuk membolehkan mereka diserapkan ke dalam pasukan utama,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This