Industri francais buka peluang lebih ramai rakyat Sarawak jadi usahawan – Abang Johari

Industri francais buka peluang lebih ramai rakyat Sarawak jadi usahawan – Abang Johari

KUCHING,. Rakyat Sarawak perlu merebut peluang untuk menceburi industri francais negara yang sedang berkembang pesat dengan sasaran nilai jualan RM22.66 bilion menjelang 2025, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata terdapat 11 syarikat francais yang berasal dari Bumi Kenyalang setakat ini merangkumi pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, kesihatan serta perkhidmatan.

“Inilah apa yang kita lihat dalam pembangunan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuklah francais,” katanya berucap pada siri ketiga Karnival Barangan Malaysia 2022 (KBM2022) edisi Borneo yang meliputi Sarawak, Sabah dan Labuan di Tebingan Sungai Kuching, malam tadi.

Menurut Abang Johari, di peringkat Sarawak, kerajaan negeri memberikan sokongan dan dorongan kepada PKS menerusi beberapa inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Pada September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 1,149 syarikat francaisor telah didaftarkan di bawah Akta Francais 1998 dengan hampir 49,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada 2021.

Abang Johari berkata dengan peningkatan bilangan syarikat francais di dalam negara, ia akan turut menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan kelak.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan peniaga PKS di Sarawak supaya memanfaatkan teknologi digital bagi meluaskan pasaran mereka dalam dan luar negara.

Sebanyak 60 pempamer tempatan menyertai karnival itu yang bermula semalam hingga esok dengan turut diadakan serentak Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This