Industri hiliran berasaskan koko di Sarawak berdaya maju – Willie Mongin

Industri hiliran berasaskan koko di Sarawak berdaya maju – Willie Mongin

KOTA SAMARAHAN, 21 Dis — Industri hiliran berasaskan koko di Sarawak mempunyai masa depan yang baik dan berdaya maju berikutan negeri ini antara pengeluar serbuk koko yang terbaik, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin.

Beliau berkata industri koko negara, khususnya di Sarawak memerlukan hala tuju baharu, dengan mengembangkan aktiviti hiliran komoditi itu dalam pengeluaran serbuk koko dan coklat.

Melihat prospek tersebut, katanya Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah mengorak langkah dengan membina Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) bernilai RM14 juta di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM, Kota Samarahan.

PPBKC merupakan sebahagian daripada komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak, program yang menjadi pemangkin di peringkat huluan yang dilaksanakan mengikut konsep “farm to table”.

“Kita memerlukan hala tuju baharu untuk industri koko kita agar kita dapat meningkatkan lagi pengeluaran biji koko, menceburi aktiviti hiliran dalam pengeluaran serbuk koko dan blok coklat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus peningkatan kualiti koko Sarawak di sini hari ini.

Katanya beliau mahu lebih ramai penggiat industri koko menceburi aktiviti hiliran koko yang menjamin pendapatan lumayan berbanding dengan hanya menjual biji koko kering melalui program SARA Cocoa Cluster, yang melibatkan pembangunan tanaman koko di daerah Sebuyau, Padawan, Asajaya, Kota Samarahan, Tebedu dan Serian, dengan keluasan 525 hektar melibatkan 526 petani.

Beliau berkata SARA Cocoa Cluster juga telah mewujudkan koperasi yang akan menjalankan sebahagian aktiviti kluster dengan keahlian dibuka kepada pengusaha tanaman, usahawan coklat dan individu yang terlibat dalam industri koko di Sarawak.

“Kementerian berharap dengan kewujudan koperasi ini akan dapat mencapai matlamatnya, iaitu memastikan ahli-ahlinya menerima ganjaran hasil keuntungan, khususnya daripada penjualan biji koko dan coklat,” katanya.

Ahli koperasi itu turut disaran melihat kepada perusahaan pengeluaran serbuk koko dan pembuatan coklat sebagai perniagaan yang menjana pendapatan lumayan dan mereka yang berminat boleh mengikuti kursus itu di PPBKC Kota Samarahan.

Katanya peruntukan sebanyak RM21 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk program penanaman koko baharu dan bantuan input pertanian.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This