Industri minyak sawit Malaysia mampu catat prestasi lebih baik – Pakar

Industri minyak sawit Malaysia mampu catat prestasi lebih baik – Pakar

KUALA LUMPUR,. Industri minyak sawit yang menyumbang kira-kira enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mampu mencatatkan prestasi yang lebih baik, kata Ahli Ekonomi dan Perunding Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Isabelle Tsakok.

Beliau berkata industri itu perlu menangani cabaran mampan yang saling berkaitan, terutamanya berhubung isu-isu alam sekitar, perubahan iklim dan sosial.

“Dalam melaksanakannya, ia memerlukan kepimpinan dan saya menggesa kerajaan Malaysia, yang mempunyai kuasa, untuk terlibat dalam perkara ini seperti ketika memilih minyak sawit (sebagai antara penjana pendapatan kepada ekonomi),” katanya pada sesi soal jawab secara maya pada Persidangan Kelestarian Minyak Sawit Antarabangsa (IPOSC) 2020 di sini hari ini.

Antara cabaran yang digariskan beliau ialah keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dalam bahan api pengangkutan mulai 2030, pengurangan biodiversiti dan ancaman kepupusan spesies yang unik.

Tsakok, antara ahli panel pada sesi soal jawab selama dua jam itu berkata, industri perlu mencari penyelesaian untuk meningkatkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) walaupun perubahan iklim mengurangkan FFB dan hasil pertanian yang lain serta menangani dakwaan pelanggaran hak buruh dan pengambilan tanah daripada masyarakat orang asli.

Beliau berkata tanaman itu telah mendorong transformasi pertanian, pertumbuhan yang inklusif dan mengurangkan kemiskinan di negara ini dan ia merupakan kaedah paling berkesan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap minyak sayuran berikutan ia menggunakan satu persepuluh daripada tanah untuk tanaman saingannya.

Bagaimanapun, katanya kejayaan itu telah menjadikannya kontroversi.

“Minyak sawit adalah baharu bagi saya memandangkan saya berasal dari Mauritius dan kami menanam kelapa di sana. Oleh itu, ia telah menarik perhatian saya apabila melihat impak minyak sawit kepada Malaysia dan bagaimana ia telah membantu membasmi kemiskinan.

“Bagaimanapun, sebagai seseorang yang memantau industri ini dari luar, saya melihat minyak sawit mempunyai ‘dua bahagian.’ Bahagian pertama, banyak perkara yang menarik yang anda lakukan dan anda miliki, tetapi dari aspek lain, terdapat juga perkara yang kurang menarik,” katanya.

Beliau berkata isu-isu penting ialah memperkasakan kumpulan B40 dalam industri itu — iaitu pekebun kecil, isu tanah orang asli, hak buruh dan penebangan hutan.

Tsakok yang berkelulusan PhD dalam ekonomi dari Harvard University dan pesara Bank Dunia berkata, di sebalik cabaran itu, industri boleh mencapai prestasi yang lebih baik berikutan minyak sawit merupakan minyak yang pelbagai guna dan memberi banyak manfaat kepada dunia.

Sementara itu, ahli panel lain, Ketua Kemampanan IOI Corporation Bhd Dr Surina Ismail berkata bekerjasama dengan kerajaan antara cara terbaik untuk menguruskan cabaran yang dihadapi oleh industri.

“Sepanjang rantaian bekalan, setiap pihak perlu memainkan peranan mereka dalam sektor huluan atau hiliran.

“Kita perlu membantu dan menggalakkan pengusaha, terutamanya pekebun kecil, untuk menghasilkan secara mampan dan mendapat pengiktirafan daripada syarikat besar di peringkat tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (CSPO), Pengarah Perhubungan Pihak Berkepentingan Strategik Meja Bulat Minyak Sawit Mampan Salahudin Yaacob berkata pensijilan itu perlu untuk penggiat besar dan kecil, membolehkan mereka memasuki lebih banyak pasaran.

“Pada masa ini, pengeluaran CSPO adalah rendah. Kerajaan, pengguna dan pihak berkepentingan industri perlu bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran mengenai CSPO.

“Kita perlu menguatkuasakan keperluan untuk menjadikan minyak sawit mampan diketahui dan ini boleh dicapai dengan hanya mengeluarkan CSPO,” katanya.

Dua wakil EU, Frans Claassen dan Paivi Makkonen berkata perlu lebih banyak dialog yang membina antara negara-negara pengeluar minyak sawit dan kerajaan EU.

Mereka turut menegaskan bahawa mempunyai tadbir urus yang baik untuk menggalakkan rantaian bekalan yang baik dalam industri adalah penting, selain memastikan tiada hak asasi manusia dicabuli.

IPOSC 2020 adalah persidangan dwitahunan Majlis Minyak Sawit Malaysia yang menekankan cabaran kemampanan dan peluang dalam industri minyak sawit Malaysia.

Persidangan pada tahun ini diadakan di platform maya, terdiri daripada dua modul, sebagai respons kepada pandemik COVID-19 global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This