Industri pelancongan, bekalan makanan dan pengangguran antara cabaran dihadapi Malaysia

Industri pelancongan, bekalan makanan dan pengangguran antara cabaran dihadapi Malaysia

KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa untuk membendung penularan COVID-19 telah menjejaskan pergerakan dan aktiviti rakyat terutamanya dalam subsektor berkaitan pelancongan.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, pembatalan tempahan hotel bagi Januari hingga 20 Mac lepas mencecah lebih 193,000 bilik sekali gus mengakibatkan kerugian RM76 juta.

Pada masa yang sama, kadar penginapan hotel berkurangan daripada 61.6 peratus pada Januari tahun ini kepada 25 peratus pada Mac.

“Industri penginapan mula beransur pulih dengan kadar penginapan mencecah 42.1 peratus bagi tempoh 30 Ogos hingga 5 Sept berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih,” menurut laporan itu.

Industri penerbangan negara pula dijangka kehilangan RM13 bilion tahun ini disebabkan penurunan aktiviti perjalanan udara secara mendadak berikutan sekatan perjalanan antarabangsa.

Menurut laporan itu, Malaysia juga berdepan dengan isu jaminan bekalan makanan tidak mencukupi sebagai contoh, pengeluaran beras negara hanya dapat memenuhi 70 peratus permintaan domestik pada 2019, selain kadar sara diri (SSR) yang rendah bagi makanan lain seperti ubi keledek (81.7 peratus) dan kelapa (68.2 peratus).

Antara faktor menyumbang kepada kekurangan penawaran bagi makanan asas, termasuk upah yang tidak menarik di sektor pertanian, masalah serangan penyakit dan serangga serta kurang penggunaan teknologi dan minat dalam kalangan generasi muda menceburi sektor itu.

Selain itu, Malaysia turut berdepan dengan isu pengangguran belia dengan mencatatkan kadar dua angka walaupun ekonomi berada dalam guna tenaga penuh.

Laporan itu memaklumkan ketidakpadanan pendidikan juga semakin ketara dalam pasaran buruh berikutan ramai individu berpendidikan tertiari bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

“Pada 2019, sejumlah 26.7 peratus siswazah berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh terutamanya disebabkan oleh pekerjaan kategori mahir yang tidak mencukupi. Malaysia juga bergantung kepada pekerja migran terutama pekerja asing berkemahiran rendah.

“Pada masa yang sama, walaupun ekonomi gig kini semakin menjadi pilihan, namun pekerja gig tidak disediakan jaringan keselamatan sosial yang bersesuaian,” menurut laporan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This