Infrastruktur awam, COVID-19 komponen penting Belanjawan 2021 untuk rakyat Sabah
KOTA KINABALU,. Rakyat Sabah berharap Belanjawan 2021 akan memberikan penyelesaian berkesan dalam isu pembangunan infrastruktur awam dan langkah mencegah serta menangani penularan pandemik COVID-19 kerana ia merupakan dua komponen penting untuk membantu rakyat di negeri ini.
Penghantar perkhidmatan makanan Grab Food, Iffat Izzuan Jais, 22, dari Kampung Laya-laya, Tuaran berkata infrastruktur awam terutama jalan raya telah menjadi masalah rakyat Sabah sejak sekian lama dan beliau berharap Belanjawan 2021 dapat memberi penyelesaian berkesan buat isu itu.
“Selain jalan raya sekolah daif juga menjadi masalah lama yang tidak selesai, belanjawan setiap tahun ada peruntukan jalan raya dan sekolah tetapi sama saja. Jadi Belanjawan 2021 ini mesti umum sesuatu yang berbeza supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan berkesan,” katanya kepada Bernama.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini. (6 Nov)
Pegawai pentadbiran di institusi pengajian tinggi Nuraini Aziran, 39, dari Sepanggar di sini berkata Belanjawan 2021 perlu ‘mesra’ pembangunan ekonomi untuk rakyat pasca COVID-19 bagi memastikan sektor ekonomi yang terjejas dapat dipulihkan segera.
“Bantuan seperti Prihatin Nasional, Subsidi Upah dan pakej bantuan COVID-19 lain perlu diteruskan tetapi menerusi Belanjawan 2021 bantuan seperti ini diperkemas dan ditambah baik bagi membolehkan rakyat serta sektor ekonomi mampu berjalan semula,” katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri TC Goh berharap kerajaan dapat melancarkan pelan pemvaksinan COVID-19 dalam Belanjawan 2021 kerana ia adalah komponen utama memerangi pandemik itu.
“Pelan ini adalah penting untuk memudahkan penyediaan vaksin percuma atau berpatutan kepada rakyat Sabah dan penduduk Malaysia memandangkan vaksin ini dijangka boleh didapati di pasaran menjelang tahun depan,” katanya.
Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) berharap kerajaan mengurangkan cukai pendapatan individu dan korporat bagi meringankan beban kewangan rakyat dan kos operasi perniagaan, dalam usaha merancakkan pengeluaran dan penggunaan domestik bagi merangsang pasaran.
Dalam pada itu Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin senada dengan rakyat negeri ini dan berkata antara infrastruktur penting ialah Lebuhraya Pan Borneo yang perlu kembali ke landasan asal pembinaannya dan Belanjawan 2021 diharap dapat mempercepat pelaksanaan projek itu.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata Pan Borneo, melibatkan kos RM30 bilion, bukan sebuah projek lebuh raya biasa sebaliknya memainkan peranan dalam menambah baik sistem jalan raya negeri yang seterusnya mempercepat pertumbuhan ekonomi untuk rakyat.
“Kerajaan Negeri sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dan semua pihak terlibat bagi memastikan kepentingan rakyat di negeri ini dijaga sebaiknya,” katanya kepada Bernama.
Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini dilaporkan memaklumkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak, masing-masing mencatatkan kemajuan terkini sebanyak 32 dan 52 peratus setakat Jun lepas.
Bung Moktar berkata pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa peruntukan besar untuk menaik taraf perkhidmatan perubatan dan kesihatan Sabah adalah amat diperlukan bagi menampung keperluan rakyat di seluruh negeri.
“Penambahan kakitangan kesihatan seperti Pembantu Perubatan, Jururawat dan Pegawai Kesihatan juga amat perlu. Proses melantik pelatih perubatan dari kolej kerajaan yang belum menerima tawaran bertugas juga perlu dicepatkan,” katanya.
Selain itu katanya Belanjawan 2021 juga perlu memberi tumpuan terhadap projek menaik taraf sekolah daif di negeri ini dan ini memerlukan peruntukan segera daripada Berlanjawan 2021.
— BERNAMA