Infrastruktur, program akar umbi e-sukan antara harapan pemain industri untuk Bajet 2022

Infrastruktur, program akar umbi e-sukan antara harapan pemain industri untuk Bajet 2022

JOHOR BAHRU,. Pembangunan infrastruktur serta program akar umbi untuk mencari bakat baharu adalah antara harapan pemain-pemain industri sukan elektronik (e-sukan) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.

Bagi pemain e-sukan bertaraf antarabangsa Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan (gambar), 22, meskipun sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak berusia 16 tahun lagi, hanya segelitir dalam kalangan masyarakat yang mengetahui mengenai potensi serta ganjaran yang ditawarkan.

“Untuk membangunkan lagi sukan ini misalnya, faktor penajaan turut memainkan peranan penting. Masih banyak kekurangan termasuk dari segi kewangan. Komuniti kami macam terasing, masih ramai yang tak tahu, tak tahu kerja mana, pendapatan macam mana. Pendapatan dalam e-sukan sebenarnya ok cuma kurang dari segi penajaan.

Macam sukan lain, seperti bola sepak misalnya, bila dapat penajaan, mereka berpeluang untuk memajukan diri dan ini dapat dilihat dari segi prestasi selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di hab e-sukan, HomeBois, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah melawat HomeBois di sini, yang merupakan sebahagian daripada program jelajah beliau ke negeri ini sempena Bajet 2022.

Selain itu, Mukhriz atau nama lebih dikenali sebagai “IronPro”, turut berpendapat perlunya diwujudkan sebuah akademi untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam e-sukan memandangkan tiada platform khusus kepada program akar umbi.

Turut senada dengan beliau ialah Pengurus Produksi HomeBois, Mohamad Nor Mohd Mochtar, 30.

Beliau berharap lebih banyak program untuk mencungkil bakat-bakat muda dapat diketengahkan pada masa hadapan.

“Malaysia sememangnya negara yang mempunyai proven talent (bakat terbukti) di luar negara dan mungkin ada banyak talent-talent (bakat-bakat) yang belum dikenal pasti dan dengan adanya peruntukan dalam bajet kali ini, kita boleh cungkil bakat mereka ini,” kata beliau lagi.

Katanya, menerusi peruntukan dalam bajet sebelum ini, telah sedikit sebanyak turut membantu dalam memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memahami apa itu e-sukan dan bukan sekadar bermain sukan elektronik semata-mata.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata industri e-sukan mempunyai potensi yang amat besar untuk dibangunkan kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi dan mampu menjana pendapatan kepada golongan anak muda Malaysia.

“Itu sebabnya, semenjak tahun 2019 kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri e-sukan. Pada tiga bajet terdahulu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM45 juta bagi membangunkan industri e-sukan di Malaysia,” kata beliau.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan sokongan kepada industri e-sukan ini di bawah Bajet 2022 yang akan diumumkan tidak lama lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )