Ingkar PKPD pasar Jalan Othman, lima individu ditahan

Ingkar PKPD pasar Jalan Othman, lima individu ditahan

PETALING JAYA, 10 Mei — Akibat mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pasar Jalan Othman di sini, lima individu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seorang daripada mereka dikesan memandu lori di bawah pengaruh alkohol berhampiran pasar berkenaan tengah malam tadi.

Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu dilihat memberhentikan kenderaannya dalam keadaan mengejut selepas mendapati ada kawat duri dipasang sekitar kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu itu dipercayai mabuk manakala empat suspek yang ditahan kerana mahu meloloskan diri dari kawasan PKPD itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan. Sebarang maklumat lanjut berkaitan umur suspek dan akta digunakan untuk siasatan kes itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata PKPD yang melibatkan tiga zon di Petaling Jaya itu merangkumi keluasan 34 hektar dengan 439 rumah didiami kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mendirikan tiga pusat ujian wabak COVID-19 masing-masing di Zon A, B dan C kawasan itu.

“Saya mendapat maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat mula menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk sejak awal pagi tadi dan kesemua mereka sudah terima bantuan itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati selain kawasan pasar berkenaan, banyak laluan sekitar kawasan itu dipasang kawat duri meliputi Seksyen 2 dan Seksyen 4 PJ Old Town, selain sekatan jalan raya oleh polis.

Kawasan itu yang sebelum ini menjadi tumpuan kerana pasar basah yang terletak di Jalan Othman dikenal pasti antara kluster penularan wabak COVID-19.

Bernama hari ini melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman di sini, menjadi kawasan terbaharu yang dilaksanakan PKPD berkuat kuasa hari ini hingga 23 Mei, selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This