Inisiatif Kampung Terpencil Di Sabah Elak Covid-19
KOTA KINABALU,. Walaupun rakyat seluruh negara dikehendaki mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak yang berubah di kampung Dusun yang terpencil di kawasan Banjaran Crocker di Sabah.
Kampung Terian di Penampang terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari bandar Donggongon, bandar daerah itu. Di sini, penduduk kampung masih mengekalkan rutin harian dengan bercucuk tanam dan menjaga ternakan mereka.
Mereka sudah tentu tidak sedar dengan perkara yang berlaku di luar kawasan, namun mereka sentiasa tahu maklumat terkini mengenai Covid-19 dan PKP.
“Kami pasti tahu Covid-19, itulah sebabnya kami menutup sempadan kami kepada orang luar,” kata Ketua Kampung, Blasius Sipail.
Sebuah papan tanda “larangan kemasukan” yang baru dipasang di tepi jalan menyambut sesiapa yang datang ke kampung itu, yang selalunya diketahui penduduknya menyambut kedatangan orang luar secara meriah.
“Namun kami tidak boleh mengambil risiko sekarang. Kami akan memberitahu pelawat, dengan sopan, untuk berpatah balik dan pergi jika mereka datang tanpa tujuan yang sah.
“Larangan ini juga selaras dengan perintah kerajaan untuk menghadkan pergerakan individu,” kata Sipail kepada FMT.
Papan tanda itu tertulis orang luar, pelawat, agensi kerajaan, orang perseorangan dan badan sukarelawan, dilarang memasuki perkampungan Ulu Papar yang menempatkan Kampung Terian dan kampung lain seperti Buayan, Longkogungan dan Pongobonon.
Satu-satunya cara untuk ke sana adalah melalui jalan darat yang sempit dan berbukit di kelilingi hutan. Terdapat 2 sungai untuk diseberangi di mana ia tidak dapat dilalui ketika musim hujan.
Kampung-kampung itu boleh diakses dengan kenderaan pacuan 4 roda tetapi ia berlumpur dan tidak dapat dilalui selepas hujan lebat, menyukarkan perjalanan walaupun menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.
Sipail berkata 450 penduduk tinggal dalam komuniti itu tidak merasakan perubahan ketara yang dialami jiran mereka di bandar-bandar besar.
Beliau berkata penduduk kampung kebanyakannya bergantung kepada pertanian seperti menanam padi dan sayur-sayuran, dan untuk daging, mereka menternak ayam kampung dan babi. Sungai Terian yang berdekatan juga menyediakan ikan air tawar kepada mereka.
“Kami memerlukan gula, garam, minyak masak dan keperluan lain, yang kadang-kadang habis. Apabila bekalan tinggal sedikit, kami memilih 2 atau 3 orang di antara kami untuk pergi ke Donggongon untuk membelinya.
“Tetapi pada masa ini, kami tidak rasa pergerakan terhad disebabkan PKP, ia seperti hari-hari lain. Penduduk kampung masih keluar untuk menanam sayur atau padi, dan ada yang keluar untuk menoreh getah,” katanya.
Sipail berkata ia bernasib baik kerana tidak ada seorang pun penduduk kampungnya diuji positif Covid-19.
“Bagaimanapun, kami cuba mengikuti nasihat kerajaan dengan tidak berkumpul secara berkumpulan dan membataskan kontak kami,” katanya sambil menambah aktiviti sukan juga dihentikan.
Beliau berkata beberapa penduduk kampung yang bekerja di bandar-bandar besar pulang ke kampung. “Mereka berkata lebih baik balik kampung daripada berada di bandar, di mana mereka rasa susah.”
Sipail berkata, penduduk kampung menerima bantuan makanan dalam 2 fasa daripada kerajaan, yang perlu diambil di bandar.
“Kami mengalu-alukan apa sahaja bantuan yang ada. Kami ada lebih seminggu sebelum PKP berakhir. Sekiranya ia dilanjutkan lagi, kami pasti memerlukan lebih banyak bantuan,” katanya.
Kampung itu menggunakan sistem hidro mikro yang dikendalikan masyarakat untuk mendapatkan bekalan kuasa dan bergantung kepada sistem graviti untuk air. – FMT