Insentif RM2,000 bantu persiapan sekolah, keperluan raya

Insentif RM2,000 bantu persiapan sekolah, keperluan raya

KUANTAN,. Perbelanjaan persiapan sekolah anak menjadi keutamaan kepada penjawat awam yang bakal menerima bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada 23 Feb ini.

Mereka menyifatkan tarikh pembayaran itu sebagai ‘tepat pada masanya’ kerana hampir dengan tarikh mula sesi persekolahan 2024 pada 10 atau 11 Mac ini, memberikan mereka tempoh kira-kira dua minggu bagi melengkapkan keperluan persekolahan anak. .

Bagi Zayana Zahira Mohd Isa, 41, berkata pemberian insentif itu sangat membantu keluarganya yang perlu membuat persiapan ‘serba baharu’ kepada dua anak yang akan memasuki tahun satu dan tingkatan satu pada sesi persekolahan tahun ini.

“Untuk si sulung yang naik tingkatan tiga, pasti kami juga mahu usahakan sepasang dua baju baharu. Walaupun jumlah baju baharu tidak sebanyak adik-adiknya, tetapi kami mahu pastikan dia seronok untuk kembali ke sekolah.

“Selepas selesai keperluan sekolah anak menggunakan wang itu, barulah difikirkan perbelanjaan lain seperti raya dan sudah pasti, keutamaan tetap kepada anak-anak selain membantu persiapan orang tua di kampung,” kata anak jati Temerloh itu kepada BERNAMA, di sini hari ini.

Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Muzahaffar Kamal, 40, pula berkata wang itu akan digunakan untuk menjelaskan yuran persekolahan anak bongsunya berusia enam tahun yang akan mula bersekolah tadika.

“Banyak perlu dibayar pada permulaan tadika…yuran tahunan dan yuran bulanan. Sejak pertengahan tahun lepas lagi kami sudah mula membuat tabungan khas untuk persekolahan anak dan pengumuman insentif itu yang dibuat pada 13 Okt lepas sangat melegakan.

“Ini kerana sebulan selepas persekolahan bermula, kita akan menyambut Hari Raya. Ini turut memerlukan kos bagi keluarga saya kerana akan pulang ke rumah orang tua dan mentua di Selangor dan Kedah,” katanya.

Muzahaffar berkata walaupun mendapat ‘rezeki terpijak’ pada tahun ini, mereka tetap berjimat cermat dengan hanya membeli peralatan sekolah yang perlu diganti untuk anak berusia 10 tahun seperti pakaian seragam dan kasut baharu.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Mohammad Zuhair Md Shah, 29, yang masih bujang berhasrat membeli kelengkapan raya kepada empat anak saudaranya, semuanya masih bersekolah rendah.

“Ibu bapa mereka sudah berhabis untuk perbelanjaan sekolah yang kita tahu bukan murah kosnya. Memandangkan cuma saya yang bekerja kerajaan dalam kalangan adik-beradik, ini antara bantuan yang boleh diberikan dan diharapkan sedikit sebanyak melegakan ibu bapa mereka,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )