Internet medium perhubungan penting ketika COVID-19

KOTA KINABALU,. Internet adalah medium perhubungan penting untuk meluahkan perasaan, berkongsi dan mempelbagaikan aliran maklumat tatkala pasangan, keluarga serta rakan-rakan terpisah berikutan pelaksanaan sekatan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Rakyat Malaysia bekerja di Kanada Travis Jude Fernandez, 24, berkata dia sangat sedih kerana tidak dapat meneruskan rancangannya untuk kembali ke sana pada Julai lepas untuk bertemu ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Namun,dalam era ke-21 menyaksikan teknologi mempengaruhi hampir kesemua aktiviti manusia, Travis berkata dia dapat melayari internet dan menghubungi insan tersayang walau kini berada jauh.

“Bagaimanapun, ia berbeza dari bersemuka. Bersemuka membawa lebih banyak emosi dari segi fizikal dan mental. Saya sebenarnya boleh menyayangi seseorang dengan tidak merasakan kehilangan tanpa kehadiran mereka.

“Saya tidak pasti bagaimana internet dapat menjadikannya lebih daripada sekarang, tapi saya akan cuba untuk tidak dibelenggu emosi dengan menyibukkan diri menerusi bekerja dari rumah dan mengemas rumah,” katanya.

Danielle Jasli Tindi, 24, yang tinggal di Kota Kinabalu, turut sedih kerana tidak dapat pulang ke Miri, Sarawak tahun ini untuk berjumpa saudara-mara kerana keadaan semasa pandemik itu.

Katanya, selagi ada talian internet, panggilan video dan telefon boleh dibuat namun tidak sama dengan bersemuka antara satu sama lain.

“Dengan bersemuka kita dapat idea dan cadangan segera. Ia secara spontan dan idea akan berkembang apabila kita berbicara secara bersemuka dengan seseorang,” katanya, sambil menambah panggilan video adalah pilihan terbaik ketika pandemik COVID-19 ini.

Dia juga berharap agar COVID-19 ini segera berlalu dan semua dapat kembali melancong atau mengunjungi insan tersayang yang kini tinggal berjauhan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )