Intipati pembelaan Najib dalam kes SRC pada 3 & 4 Dis

Intipati pembelaan Najib dalam kes SRC pada 3 & 4 Dis

KUALA LUMPUR,. Pada 3 Dis, buat pertama kalinya dalam sejarah negara, seorang bekas perdana menteri membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Datuk Seri Najib Tun Razak, 66, memberi keterangan dari tempat duduk saksi, membuat pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menangkis tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Najib yang mengangkat sumpah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, membaca sebahagian daripada penyataan saksinya setebal 243 halaman semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya.

Berikut adalah intipati keterangan Najib, yang merupakan saksi pembelaan pertama di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 11 Nov, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

HARI PERTAMA (3 Dis) :

Najib mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah meminitkan perkataan “Bersetuju” pada sepucuk surat daripada SRC International Sdn Bhd yang memohon kelulusan daripadanya, sebagai menteri kewangan, untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Beliau berkata beliau hanya meminitkan surat tersebut bagi perhatian beliau untuk memaklumkan sokongannya mengenai permohonan pinjaman SRC itu.

Bekas perdana menteri itu berkata disebabkan perkara itu masih hangat dan telah menarik perhatiannya, beliau memutuskan untuk memberi sokongan kepada surat permohonan yang dikemukakan SRC pada 3 Jun 2011.

Bagaimanapun Najib berkata perkataan “Bersetuju” bukanlah bermaksud muktamad dan tidak boleh diubah.

“Ia tertakluk kepada proses penelitian oleh para pegawai yang ada kalanya memberi pendapat yang berbeza. Oleh itu, perkataan ‘Bersetuju’ bukanlah bermakna persetujuan carte blanche (kuasa penuh). Ia tidak menghalang pendapat-pendapat yang berbeza untuk diutara dan dipertimbangkan,” katanya.

Najib, yang merupakan menteri kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata beliau tidak tahu syarikat itu merancang untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Beliau berkata beliau tidak menyedari perkara itu dan tidak dimaklumkan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 daripada SRC untuk memohon kelulusan pinjaman sebanyak daripada KWAP akan dihantar kepadanya.

“Surat itu memaklumkan tentang inisiatif yang membawa kepada pinjaman yang dicadangkan SRC. Kemungkinan besar saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini sebelum saya menerima surat tersebut. Saya tidak boleh mengingati secara khusus apa inisiatif yang telah dicadangkan itu, tetapi sudah semestinya ia adalah sesuatu yang cukup substantif terutama sekali apabila saya memberikan sokongan saya kepada SRC,” katanya.

HARI KEDUA (4 Dis) :

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa wang sebanyak US$1.05 bilion (RM3.2 bilion) daripada pihak Arab Saudi dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank milik Najib antara 2011 hingga 2013.

Menurut penyataan saksi Najib, sebanyak US$99,999,976.00 (RM304,329,765.73) dikreditkan pada 2011; US$269,999,985.59 (RM831,919,489.84) pada 2012 dan US$680,999,976.00 (RM2,081,476,926) pada 2013.

Ketika ditanya peguamnya Rahmat Hazlan sama ada beliau mengetahui secara tepat transaksi kredit akaun AmBank miliknya yang nombornya berakhir dengan 694 dari tahun 2011 hingga 2013, Najib menjawab: “Saya tidak tahu berkenaan butiran bagi setiap satu dan semua transaksi kredit ke akaun 694 pada ketika itu.”

Ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai jumlah wang yang diterima itu, Najib berkata beliau hanya mengetahui mengenai kesemua transaksi itu apabila keterangannya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, merupakan individu yang telah mengatur perjumpaan beliau dengan Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud dalam beberapa lawatan di Riyadh dan Jeddah..

Beliau berkata sebelum lawatan rasminya ke Arab Saudi pada Januari 2010, Low ada memberitahunya bahawa Raja Abdullah kagum dengan kemampuan Malaysia mengamalkan kesederhanaan sebagaimana dituntut dalam Islam dan layanan sama rata antara orang Islam dan bukan Islam.

“Menurut Jho Low, Raja Abdullah mahu mengurniakan saya dengan kurniaan tertinggi Arab Saudi bagi orang awam iaitu King Abdulaziz Order of Merit (1st Class) ketika kunjungan saya pada Januari 2010,” kata Najib.

Beliau berkata pada sekitar pertengahan 2010, Low memberitahunya Raja Abdullah bersetuju untuk memberikan sokongan dalam bentuk derma peribadi.

Menurut Najib, beliau pada awalnya tidak diberitahu berapa jumlah atau tarikh penerimaan derma itu.

“Dari 2011 hingga 2014, saya menerima sejumlah wang yang besar yang mana saya percaya ia adalah derma daripada Raja Abdullah sebagai tanda sokongan baginda,” kata Najib yang turut memberitahu Low ada memaklumkan bahawa derma itu berjumlah antara US$100 juta dan US$200 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau percaya bahawa Low menguruskan derma itu bagi pihak keluarga diraja Arab Saudi.

Ditanya adakah beliau tidak berasa terkejut dengan jumlah yang besar itu, Najib berkata: “Ia mungkin kelihatan banyak tetapi saya mengetahui bahawa keluarga diraja Saudi terkenal dengan sifat pemurah.”

Najib memberi keterangan bahawa dakwaan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau (Ahmad Husni) hanya diperlakukan sebagai ‘office boy’ adalah satu komedi.

Kepada soalan peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa Ahmad Husni dalam keterangannya sebelum ini menyatakan beliau diarahkan Najib supaya tidak terlibat dalam SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak pernah memberitahu Ahmad Husni sedemikian.

Disoal Wan Aizuddin mengapa Ahmad Husni mempunyai dendam dan ketidakpuasan hati terhadap bekas perdana menteri itu, Najib menjelaskan beliau percaya Ahmad Husni menyimpan perasaan tidak puas hati selepas beliau dipindahkan daripada MOF ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuk menyuarakan keluhannya secara terbuka.

Perbicaraan bersambung Isnin untuk Najib meneruskan keterangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This