Isu BMF dan masalah scammer, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR,. Persoalan tentang pelarian dan langkah-langkah kerajaan untuk menjamin kehadiran mereka tidak mengancam keselamatan negara, adalah antara persoalan yang akan ditimbulkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, soalan yang diajukan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menjadi pemula untuk sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Isu berkenaan Kempen Dahulukan Produk Muslim (Buy Muslim First atau BMF) dibangkitkan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulung) adalah antara persoalan yang menarik perhatian ramai, yang akan menyaksikan penjelasan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sejauh mana kempen itu memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Tidak kurang menariknya, soalan oleh bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang bertanyakan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sebarang pertunjukan bersenjata yang dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), susulan kematian seorang pegawai tentera baru-baru ini.
Selain itu isu berkenaan masalah ‘scammer’ akan dibangkitkan pada sesi jawab lisan oleh Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PH-Sabak Bernam) yang berminat untuk mengetahui tentang jumlah kerugian akibat jenayah itu dan langkah kerajaan untuk membanterasnya daripada berterusan.
Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.
— BERNAMA