Isu gangguan bekalan air di Sepanggar dan Manggatal selesai

Isu gangguan bekalan air di Sepanggar dan Manggatal selesai

oleh : Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Belum pun sampai dua minggu ditubuhkan, pasukan petugas khas Jabatan Air Negeri Sabah berjaya menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk kawasan Sepanggar dan Manggatal di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mengarahkan penubuhan pasukan berkenaan pada 12 April lepas, turut membuat tinjauan di kawasan tangki simpanan atau rumah pam University Apartment 1 di sini hari ini..

Menurutnya, perkembangan terkini berhubung isu air di kawasan terbabit adalah satu berita gembira kerana akhirnya ia berjaya diatasi.

“Mereka (penduduk) sudah boleh mendapat bekalan air seperti biasa dan ini satu perkembangan baik terutama dalam bulan Ramadan ini,” katanya kepada media selepas lawatan berkenaan di sini hari ini.

Isu gangguan bekalan air di kawasan berkenaan bertambah teruk hingga menjejaskan beberapa kawasan sekitar Sepanggar antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas.

Antara tindakan yang diambil pasukan petugas khas Jabatan Air termasuklah menghantar bekalan air menggunakan tangki ke kawasan yang terjejas sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan pada injap air di Tuaran dan Sepanggar serta tinjauan sistem agihan air ke Tuaran dan Kota Kinabalu.

Bagi langkah penyelesaian jangka masa panjang, Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 akan disiapkan dan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) yang baharu akan dikaji bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di bahagian utara Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa Jabatan Air untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang berhubung masalah air bukan sahaja di kawasan Sepanggar tetapi juga di seluruh Sabah.

Katanya, bekalan air adalah salah satu faktor penting bagi pelabur untuk masuk ke negeri ini.

Pihaknya turut diberi penerangan antara punca masalah berkenaan disebabkan oleh kes kecurian air dan juga peralatan milik Jabatan Air yang sering hilang. Kes-kes terbabit kini dalam siasatan polis.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pembayaran gaji Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), Hajiji menjelaskan akan bertemu dengan Pengarah Yayasan Sabah dan pihak pengurusan UCSF bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Kita tahu masalah yang dihadapi terutama pekerja dan pegawai-pegawai di sana. Saya akan panggil satu mesyuarat bersama pengarah dan pihak pengurusan kolej.

“Kita akan ambil tindakan sewajarnya yang penting saya ingin tahu juga pada peringkat ini, sebab kenapa perkara ini berlaku dan kita akan selesaikan,” katanya.

Mengenai isu pekerja Sabah Forest Industries (SFI) yang tidak dibayar gaji, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan membayar gaji pekerja SFI bulan ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan; Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Jabatan Air Edward Lingkapo dan timbalannya Baharumon Sogon.

-UtusanBornoe

CATEGORIES
Share This