Isu kebakaran hutan, tanah selubungi Indonesia selepas COVID-19

Isu kebakaran hutan, tanah selubungi Indonesia selepas COVID-19

JAKARTA,. Indonesia dijangka berdepan satu lagi cabaran selepas sekian lama berhempas pulas memerangi ancaman pandemik COVID-19, iaitu masalah kebakaran hutan dan tanah, yang turut dianggap isu tahunan negara berkenaan.

Sejak awal tahun ini, lebih 38,000 hektar tanah gambut dan hutan dilanda kebakaran, namun Agensi Meteorologi dan Cuaca Indonesia (BMKG) meramalkan, situasi itu masih belum mencapai kemuncak kerana musim kering hanya akan bermula antara Ogos dan September.

Walaupun BMKG meramalkan kebakaran itu tidak seburuk seperti 2019, tugas getir masih menanti kerajaan kerana perlu berhadapan dengan dua musibah besar tahun ini.

Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, antara institusi yang diberi mandat memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut itu mendedahkan, mereka terpaksa memotong bajet yang diperuntukkan bagi kerja memadam api sebanyak 39 peratus, susulan pandemik COVID-19.

“Kerana COVID-19, kerajaan memutuskan untuk mengalihkan sebahagian sumber bagi membiayai usaha memerangi wabak itu.

“Ia mencakupi tenaga kerja, sukarelawan, dana kerajaan negeri dan wang membeli peralatan,” kata Ketua Pengarah (Perubahan Iklim), Ruandha Agung Sugardiman, melalui mesyuarat secara dalam talian bulan lalu.

Ruandha, dipetik Channel News Asia sebagai berkata, kerajaan pusat berharap pengurusan wilayah dan serantau akan menampung 70 peratus perbelanjaan yang diperlukan bagi memerangi kebakaran hutan, manakala biaya selebihnya ditanggung kementerian.

“Adalah sukar untuk mengawal kebakaran hutan dan tanah ini (jika tiada bantuan daripada mereka),” katanya. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This