
Ivan mara untuk kejuaraan kebangsaan keempat
KUALA LUMPUR,. Juara bertahan Ivan Yuen memulakan pemburuan kejuaraan keempatnya dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan dengan menumpaskan Darryl Gan Zi Kang di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pemain berusia 30 tahun yang mendapat bai dalam pusingan pertama dengan mudah menundukkan Darryl seorang pemain junior 11-8, 11-6, 11-2 dan mara ke suku akhir untuk pertarungan dengan bekas pemain kebangsaan Muhammad Asyraf Azan esok.
Muhammad Asyraf mara selepas menewaskan Hi Jia Rong 11-8, 11-4, 8-11, 11-3 dalam perlawanan pusingan kedua hari ini.
“Ia adalah perlawanan pertama, cuma cuba mendapatkan balik penghayatan dalam persaingan, rentak dan keadaan pertandingan. Ia adalah perlawanan hebat menentang Darryl, dia bermain dengan bagus. Saya perlu fokus untuk esok, kerana ia bukan mudah berhadapan Asyraf,” kata Ivan kepada pemberita selepas perlawanan.
Pemain pilihan kedua Mohamad Syafiq Kamal juga menempah slot suku akhirnya selepas mengalahkan Wee Ming Hock Vincent Jones Jr 11-7, 11-7, 11-8.
Sementara itu, dalam pusingan pertama divisyen premier wanita, kesemua pemain pilihan utama menempah slot suku akhir seperti yang dijangkakan dengan pemain yang melangkah ke final tahun lepas, Rachel Arnold menyingkirkan J. Yasshmita 11-6, 11-8 dan 11-7.
Dalam perlawanan suku akhir pemain berusia 24 tahun itu akan berhadapan Chan Yimen yang mengalahkan M Kiroshanna 11-3, 11-5, 11-5 dalam perlawanan lain.
Pemain pilihan kedua dan Juara 2018 S Sivasangari tidak perlu berhempas – pulas menundukkan pemain muda U Thanusaa dengan kemenangan 11-6, 11-1, 11-6 sementara Aifa Azman yang berazam merebut kejuaraan pertamanya menewaskan Goh Zhi Xuan 11-1, 11-3, 11-9 untuk berhadapan dengan Lai Wen Li nanti.
Aifa berkata:”Saya agak gementar selepas lama tidak beraksi (sejak Perintah Kawalan Pergerakan). Esok kami perlu bermain di dalam gelanggang kaca, kami jarang bermain atau berlatih di sana, jadi siapa yang dapat membiasakan dirinya lebih cepat, berpeluang menang.”
Keputusan
(Nota: [ ] menunjukkan pilihan)
Premier Lelaki Pusingan Kedua
———————————————-
[1] Ivan Yuen mn [9/12] Darryl Gan Zi Kang 11-8, 11-6, 11-2
[5/8] Muhammad Asyraf Azan mn [21/26] Hi Jia Rong 11-8, 11-4, 8-11, 11-3
[3/4] Addeen Idrakie mn [9/12] Danial Nurhaqiem 11-4, 11-2, 11-3
[3/4] Darren Rahul Pragasm mn [13/16] Muhammad Hafiz Zhafri11-9, 6-11, 11-9, 11-9
[5/8] Ong Sai Hung mn [13/16] Muhammad Hafiz Zhafri Adam Agan Aziz 11-4, 11-0, 11-5
[5/8] Elvinn Keo mn [9/12] Muhammad Amir Amirul 13-11, 11-9, 3-11, 11-9
[2] Mohammad Syafiq Kamal mn [17/20] Wee Ming Hock Vincent Jones Jr 11-7 11-7 11-8
Premier Wanita Pusingan Pertama
————————————————-
[5/8] Chan Yiwen mn [9/12] M. Kiroshanna 11-3, 11-5, 11-5
[3/4] Rachel Arnold mn [13/16] J. Yasshmita 11-6, 11-8, 11-7
[3/4] Aifa Azman mn [13/16] Goh Zhi Xuan 11-1, 11-3, 11-9
[5/8] Lai Wen Li mn [9/12] K. Sehveetrraa 11-6, 12-10, 5-11, 11-4
[5/8] Aira Azman mn [9/12] Noor Aina Amani 11-13, 12-10, 11-8, 11-1
[2] S Sivasangari mn [13/16] U. Thanusaa 11-6, 11-1, 11-6.
— BERNAMA