JAKIM, MYAQSA hulur sumbangan kepada komuniti Palestin di Malaysia

JAKIM, MYAQSA hulur sumbangan kepada komuniti Palestin di Malaysia

Oleh Muammar Eusouffi Zainol Abidin

KUALA LUMPUR, 9 April — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan MYAQSA (MYAQSA) menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada rakyat Palestin di Malaysia yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Sumbangan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri di Kedutaan Palestin di sini, hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MYAQSA (MYAQSA) Mohd Gunawan Che Ab Aziz berkata sumbangan itu bagi membantu komuniti Palestin di Malaysia yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata JAKIM melalui Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim, menyerahkan wang tunai RM 15,000, manakala MYAQSA mengagihkan barangan keperluan asas bernilai RM 15,000, antaranya beras, minyak masak, gula, gandum dan sardin.

“Bantuan ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 200 keluarga Palestin di sini.

“Kami juga turut membantu komuniti Palestin yang berada di luar ibu kota dengan melakukan pemindahan wang ke akaun peribadi masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan bantuan itu.

Ditanya apa yang akan dilakukan MYAQSA jika PKP dilanjutkan lagi, Gunawan berkata MYAQSA akan mencari inisiatif baharu untuk membantu rakyat Palestin selain memastikan bekalan keperluan mereka tidak terputus.

Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas usaha berterusan membantu Palestin selama ini.

Walid berkata bantuan dari negaranya terputus sementara ketika ini, disebabkan penutupan bank dan sekatan pemindahan wang berikutan PKP kerajaan Palestin

“Bagi memastikan kebajikan rakyat Palestin di Malaysia terpelihara, warga kerja Kedutaan Palestin di sini mengambil inisiatif sendiri mengumpul wang bagi membantu mereka terjejas sama ada di bandar atau di luar bandar.

“Dengan sumbangan JAKIM dan MYAQSA ini, pihak kedutaan dapat meneruskan bantuan kepada mereka yang masih belum menerima sejak bermulanya pelaksanaan PKP di negara ini,” katanya.

Walid turut mendoakan supaya Malaysia terus dilindungi dan yakin dengan keupayaan negara dalam menangani penularan COVID-19.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )