
Jamal Abdillah antara artis ternama serikan Konsert Seoul di Kapit 2 Dis
KUCHING: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani dan Dewi Seriestha antara yang bakal menyerikan Konsert Seoul sempena Hari Belia Sarawak (HBS) 2023 di Bahagian Kapit pada malam 2 Disember depan.
Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran konsert itu diadakan sebagai sebahagian daripada program HBS 2023 yang dijangka menjadi tarikan pengunjung.
Selain penyanyi negara katanya, HBS 2023 bakal menyajikan ramai lagi artis tempatan Sarawak seperti Ricky Anderson, Ramles Walter, Firdaus Materang dan lain-lain.
“Selain Konsert Seoul, antara sorotan utama semasa HBS 2023 adalah bendera terbesar dengan manik yang akan mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dan seterusnya menerima sijil MBOR.
“Turut diadakan adalah pelbagai pengisian program dan aktiviti berkualiti secara berterusan serta membudayakan Konsep 7K yang melibatkan elemen kepimpinan (kebudayaan, kesukanan, kesukarelawanan, keusahawanan, kreativiti dan kerohanian), melalui pendekatan SMART Activities ke arah pembangunan Sarawak mencapai visi World Class Youth 2030,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media sesi prapelancaran bagi sambutan HBS 2023 di Dewan Mesyuarat Mulu, Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rentap berkata pelbagai pengisian program sepanjang HBS 2023 akan menjadi satu lagi indikator menunjukkan Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) sentiasa komited dalam memberi dan menyediakan yang terbaik untuk rakyat Sarawak.
Matlamat penganjuran program ini katanya, adalah untuk memupuk semangat daya saing sebagai persediaan masa hadapan untuk pembangunan negara.
“Ini sekali gus menjadi platform untuk pihak kerajaan mencungkil bakat baharu, kemahiran unik dan potensi para belia Sarawak. “Di samping itu, melalui Hari Belia Sarawak ini, kita menghargai bakat dan pencapaian belia-belia yang telah banyak menyumbang kepada negeri ini,” katanya lagi.
HBS 2023 dengan tema Belia Maju Sarawak Makmur bakal diadakan di Dewan Suarah Kapit dan sekitar Lily Pond, Kapit bermula dari 1 hingga 3 Disember depan.
Dari segi aktiviti riadah dan sukan, antara yang akan diadakan semasa HBS adalah seperti Youth Colourful Fun Run, FLEX (Pertandingan Bina Badan dan Aerodance), Jump Rope, Liga Lipat (sepak takraw), Liga Tangkis (badminton), Meet and Greet Atlet Sarawak dan Forest E-sport (mobile legend dan FIFA).
Terdapat juga pengisian Marketplace yang menjadi platform untuk memperkasa para usahawan belia melalui pengisian seperti Belia × Bazaar Niaga Usahawan (BBNU), E- Kedey (tiktok online mall), HBS Lucky Dip (Cabutan Bertuah) dan Pameran Kerjaya dan Agensi: Excellent in Life-Improvement Through Education (ELITE).
Dari segi kesenian pula merangkumi Konsert Soul, HBS Public Arts Installation, Sorakacak (pertandingan Karaoke) dan Music For All yang menampilkan persembahan artis tempatan.
Selain itu, Majlis Anugerah Belia Sarawak 2023, yang merupakan tunjang dan kemuncak HBS 2023 juga akan diadakan. Turut diadakan, majlis apresiasi dan penutupan sebagai memberikan penghargaan kepada pencapaian belia.
HBS 2023 juga bakal memperkenalkan Team Building dengan memasukkan pengisian seperti Glamscapes.co ‘Praise & Worship’ kerjasama dengan pihak gereja, Lasykar Nurani yang turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan War Battle Cry (Pertandingan Sorak Kontinjen/Persatuan).
-Agensi