Jamawi Turun Padang Agih Bantuan
KEMABONG: Setakat Rabu lalu yang merupakan hari kedua pengagihan sumbangan bantuan bencana Covid-19 yang berupa keperluan makanan di DUN Kemabong, sebanyak 2,105 ketua isi rumah telah menerima sumbangan tersebut.
Adun Kemabong Jamawi Jaafar yang turun padang dalam pengagihan tersebut berkata,sebanyak 14 buah Majlis Permuafakatan Komuniti kampung (MPKK) di kawasan Kemabong telah menerima sumbangan tersebut yang mewakili penduduk kampung di kawasan masing-masing selain ada yang diserahkan sendiri kepada penerimanya.
“Sebanyak 15 buah kampung iaitu Kampung Amboi,Chinta Mata,Angan-Angan, Pantongan Sapong,Desa Sapong, Batu 8, Mansasoh,Sumandalom Sungai Api,Sungai Paal,Bamban,Mailo,Madani Mampusu dan Batu 14 sumbangan telah diserahkan kepada pengerusi MPKK masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas agihan tersebut di sini.
Jamawi menzahirkan terima kasihnya kepada Jawatankuasa Bencana selaku pengerak sumbangan, tenaga sukarelawan dan pengerusi MPKK yang menunjukkan kesungguhan mereka tanpa mengira penat lelah dalam menyelaraskan sumbangan tersebut.
“Saya yakin tanpa kerjasama serta semangat kerja berpasukan juga semangat kesukarelaan mereka, misi ini tidak akan dapat diselaraskan sebaiknya, ” katanya .
Menurut Jamawi misi tersebut akan diteruskan peringkat demi peringkat dan turut menasihatkan penduduk kampung agar tidak keluar dari rumah di mana bantuan akan datang sendiri ke pintu rumah mereka.
Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Sahfie Apdal atas kesungguhan menyediakan pakej Bantuan Covid-19 di mana bantuan itu sedikit sebanyak turut meringankan beban rakyat yang terkesan dengan musibah ini.
Beliau juga berharap mana mana Ketua Isi Rumah yang terlepas pandang dalam agihan bantuan ini diminta berhubung dengan pengerusi MPKK di kawasan masing-masing agar bantuan dapat diserahkan.