Janetty, mutiara renang Sabah lakar rekod di Labuan

LABUAN,. Perenang cilik dari Sabah, Janetty John Fabian dinobatkan sebagai ratu renang Kejohanan Renang Antarabangsa Labuan 2019 apabila mencipta rekod dengan menggondol lapan pingat emas dan satu perak di kolam renang Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), di sini.

Pada kejohanan dua hari peringkat umur, yang berakhir hari ini, menyaksikan perenang berusia 14 tahun itu memenangi acara 100m kuak lentang dengan masa satu minit 00.16 saat (1:00.16s), 100m gaya bebas (1:00.02s), 200m gaya bebas (2:00.25s).

Acara 50m gaya bebas (29.00s), 50m kuak lentang (33.00s), 50m kuak dada (37.00s), 100m kuak kupu-kupu (1:00.11s) dan acara 4x50m rampaian campuran (bawah 18 tahun) (2:00.14s).

Janetty, yang mewakili Kelab Renang Penampang Preppies, turut membawa pulang pingat perak dalam acara 100m kuak dada dengan masa 1:00.26s yang dimenangi Kristen Chong Siew Yet daripada Kelab Akuatik Sailfish dari Miri, Sarawak.

Janetty, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bahang, Penampang, merupakan salah satu perenang negeri mewakili negara pada temasya Sekolah-Sekolah ASEAN ke-10 tahun lalu di Shah Alam, Selangor.

Beliau turut disenarai pendek oleh Persatuan Sukan Akuatik Sabah untuk latihan bagi menghadapi SUKMA Johor tahun depan.

Rakan sepasukan Janetty, perenang lelaki berusia 14 tahun, Emmanuel Sipawol muncul perenang terbaik kategori kumpulan 2 apabila meraih lima emas, Tan Jie Sheng, 16, daripada LIS muncul perenang terbaik kumpulan 1 dengan lima emas, dua perak dan dua gangsa dan perenang terbaik wanita kumpulan 1 dimenangi Siti Izzah Atira Tanan dengan meraih lima emas.

Kelab Penampang Preppies muncul juara keseluruhan dengan kutipan 42 emas, 26 perak dan 33 gangsa, diikuti Sekolah Sukan Malaysia Sabah (24-10-7) dan LIS dengan 10 emas, 14 perak dan 11 gangsa.

Kejohanan edisi keempat itu dianjurkan Persatuan Akuatik Labuan dengan kerjasama LIS untuk perenang berusia antara 8 dan 18 tahun dengan sejumlah penyertaan seramai 179 perenang daripada 10 buah kelab termasuk dari Brunei.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIS, Jaffree Ismail berkata, pihaknya komited untuk menjadikan acara itu sebagai acara perdana dengan hasrat menjadikan Labuan sebagai salah sebuah pusat sukan akuatik utama di negara ini.

— BERNAMA

Laporan Khas Oleh Jalani Hasan

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )