Jangan leka kedudukan CPI, terus berusaha banteras rasuah – GIACC

Jangan leka kedudukan CPI, terus berusaha banteras rasuah – GIACC

KUALA LUMPUR,. Kejayaan Malaysia memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi tahun 2019, merupakan pencapaian membanggakan namun semua pihak diingat supaya tidak leka dan terus berusaha membanteras rasuah, secara habis-habisan.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, negara perlu mengekalkan momentum baik itu terutamanya dalam meningkatkan lagi skor atau mata, yang menjadi penentu kepada kedudukan negara dalam indeks berkenaan.

Menurutnya, skor itu diberi berdasarkan beberapa tinjauan dan penilaian pakar, yang melihat kepada pelbagai faktor di dalam sesebuah negara termasuk aspek demokrasi, keterbukaan terhadap pelabur asing dan faktor ekonomi.

“Saya yakin kita (Malaysia) mampu menjadi lebih baik lagi…oleh itu adalah penting untuk kita memahami bagaimana TI membuat pengiraan mata, dan bagaimana kerajaan boleh merangka strategi bagi mendapatkan mata yang tinggi.

“Untuk melonjak naik lagi, setiap aspek atau faktor lain juga perlu naik (diperbaiki)… (misalnya) kita perlu menjadi sebuah negara yang pelabur rasa mudah untuk datang berniaga, dan (menjadi) negara lebih demokratik. Ini bukan usaha satu pihak sahaja tetapi setiap agensi dan kementerian,” katanya kepada Bernama, pada Jumaat.

Malaysia telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 51 daripada 180 negara dalam CPI TI untuk 2019, menunjukkan peningkatan dalam menangani rasuah.

Skor Malaysia juga meningkat kepada 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI, peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Skor dan kedudukan CPI itu adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar, yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap tinggi rasuah) ke 100 (paling bersih).

Sementara itu, Anis Yusal berkata kejayaan Malaysia memperbaiki reputasi dalam CPI 2019 adalah disebabkan perubahan dalam kerajaan, dan komitmen kerajaan baharu memerangi rasuah.

Katanya usaha itu tidak seharusnya hanya diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi juga agensi kerajaan yang lain.

“Pendedahan salah laku yang dibuat SPRM itu baik, tetapi tidak guna sekiranya hanya SPRM sahaja yang terlibat. Seperti saya katakan tadi CPI ditentukan oleh pelbagai faktor melibatkan pelbagai agensi. Kita tidak boleh seronok setakat ini (pencapian setakat ini). Ini hanya permulaan, kita perlu melihat bagaimana untuk kita kekalkan kejayaan ini secara berterusan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This