Jangan pandang rendah graduan TVET
IPOH,. Kebanyakan golongan muda memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja disebabkan minat semata-mata, tetapi mereka juga melihat prospek pekerjaan yang begitu cerah menerusi bidang berkenaan ketika ini.
Seorang penuntut, Nurin Asyiqin Muhd Salmi, 19, dari Taiping berkata dia meminati TVET kerana bidang tersebut dilengkapi dengan segala kemahiran yang sesuai dan seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
“Jangan pandang rendah pada kami yang memilih TVET kerana walaupun ada di antara kami yang tidak cemerlang dalam bidang akademik, tetapi bidang ini mempunyai banyak peluang kerana skop pekerjaan dalam bidang teknikal dan vokasional adalah sangat luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas pelancaran program Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, pada Selasa.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
Nurin Asyiqin berkata dia sememangnya meminati bidang kemahiran sejak di bangku sekolah dan minat itu mendorongnya memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil Teknologi Seramik di ILP di sini.
Bagi K. Thennarasu, 21, berkata dia memilih TVET kerana yakin bidang itu mempunyai peluang lebih cerah dalam pelbagai bidang pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.
Thennarasu yang kini berada dalam semester kedua pengajian Program Sijil Teknologi Elektrik di ILP Ipoh berkata dia mengetahui mengenai bidang itu menerusi laman carian terbesar internet, Google.
“Saya sememangnya meminati bidang TVET sejak di bangku sekolah lagi kerana semasa di sekolah, saya sering terlibat dengan pelbagai projek dan pembelajaran berasaskan kemahiran dan dari situ timbul minat untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET,” katanya.
Pelancaran SkillsMalaysia 2.0 merupakan satu identiti penjenamaan baharu bagi TVET di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama dengan semua kementerian dan agensi dalam memperkasa bidang kemahiran negara.
— BERNAMA