Jangan salah guna peluang, kontrak yang diberi kerajaan – PM

PUTRAJAYA,. Kerajaan sentiasa fokus dalam usaha membantu mengurangkan jurang kaya dan miskin baik di bandar mahupun luar bandar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun dalam masa yang sama, mereka yang berpendapatan rendah, tegas Perdana Menteri, perlu jujur dalam meraih peluang yang disediakan oleh kerajaan, termasuk mengejar pendidikan untuk memperbaiki status sosioekonomi mereka.

“Kita ingin tentukan semua kontrak dan peluang yang akan diwujudkan nanti digunakan secara tersusun dan tertib.

“Kalau ada yang kita dapati menjual peluang yang diberikan, kita akan tarik balik peluang-peluang itu daripada mereka yang membeli,” ujar Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakan strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya, pada Khamis.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Acara itu dianjurkan bagi mempromosi dan memberi penerangan berkaitan program kementerian melalui penyertaan syarikat-

syarikat swasta dan korporat yang baru dan berpotensi menjadi rakan strategik kementerian dalam usaha membangunkan sosio ekonomi masyarakat kawasan luar bandar di seluruh negara.

Tambah Dr Mahathir lagi, tindakan sesetengah pihak yang mahu mendapatkan keuntungan yang cepat telah menghalang kejayaan dasar kerajaan yang bertujuan membantu golongan miskin.

“Sambutan rakyat yang miskin terhadap usaha kementerian perlu ada. Kalau kita ada idea dan dasar yang baik, tetapi tidak diterima dengan baik atau disalah guna, dasar itu takkan berjaya atasi masalah kemiskinan.

“DEB (Dasar Ekonomi Baharu) wujudkan peluang untuk meraih kekayaan, tetapi ada yang salah guna.

“Yang terima kontrak contohnya, mereka jual. Dapat bantuan kerajaan, mereka cari jalan mudah dengan menjualnya kepada pihak lain untuk dapatkan keuntungan lebih awal.

“Akhirnya wang mereka dibelanja habis, tetapi mereka tetap tidak berjaya keluar daripada kemiskinan,” tambah beliau lagi.

Dr Mahathir turut mengulangi seruannya kepada usahawan luar bandar untuk menggunakan teknologi moden bagi meningkatkan mata pencarian mereka.

“Hari ini pasaran begitu luas, walaupun untuk pengusaha di kampung-kampung. Apa sahaja produk boleh dijual bukan sahaja ke bandar-bandar besar, tetapi juga ke seluruh dunia, melalui pemasaran atas talian.

“Dari segi pertanian pula contohnya, teknologi tidak memerlukan tanah atau ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran dalam jumlah yang banyak, sehingga membolehkan ia dijual setiap hari,” ujarnya lagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )