Jangan salahkan pihak lain atas kekalahan Warisan di Kimanis – Mohd Shafie

Jangan salahkan pihak lain atas kekalahan Warisan di Kimanis – Mohd Shafie

KOTA KINABALU,. Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mahu pihak lain disalahkan atas kekalahan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Janganlah salah pihak lain. Kita (Warisan) ambil hakikat itu kerana itu keputusan rakyat (kawasan Parlimen Kimanis),” katanya.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata Warisan menerima keputusan dibuat oleh rakyat di kawasan Kimanis dan akan meneruskan perkhidmatan di kawasan Parlimen itu seperti yang dijanjikan.

“Warisan dan komponen sekutu (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu dan Pakatan Harapan) mengucapkan terima kasih kepada pengundi (Kimanis) yang memberi sokongan kepada Warisan dengan mendapat lebih 10,000 undi.

“Di samping itu, saya ingin menyatakan akan terus memberi khidmat kita (Warisan) bukan hanya di Parlimen Kimanis tetapi seluruh Sabah tanpa mengira bangsa dan kaum,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani nota kolaborasi antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan Universiti Kuala Lumpur dan Petra Energy Berhad di sini, hari ini.

Pada PRK Parlimen Kimanis Sabtu lepas, calon Warisan Datuk Karim Bujang kalah kepada calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This