Jangan sangkal FIFA, usah tunjuk hero

Jangan sangkal FIFA, usah tunjuk hero

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa semua pihak berkepentingan supaya ‘tidak melawan’ garis panduan yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam usaha menangani impak ekonomi susulan COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menegaskan garis panduan yang dikeluarkan badan induk itu mampu menjadi penunjuk jalan dalam meleraikan kekusutan sedia ada.

“Untuk mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan, mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.

“Kami menggesa semua pasukan agar memahami langkah yang digariskan FIFA dalam memastikan keputusan yang diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional serta telus.

“Apabila FAM meminta semua pihak bekerjasama dan berbincang secara terbuka, ada yang menolak. Sekarang dengan arahan FIFA, kami harap tiada yang cuba berlagak wira kerana detik ini menuntut semua pihak bekerjasama dan memikirkan gambaran yang lebih besar dari segi jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Stuart mencadangkan beberapa langkah sebagai proses mencari solusi terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sekiranya pasukan memerlukan kajian semula ke atas status penggajian dalam kontrak, pasukan hendaklah berbincang secara terus dengan pemain dan kakitangan teknikal bagi mencapai persetujuan menerusi satu Perjanjian Bersama yang sesuai. Perjanjian Bersama ini perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 22 April.

“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) digalakkan terbabit sama dan boleh menyediakan sebarang bentuk pakej dan pelan Penstrukturan Penggajian Sementara jika mendapat persetujuan kesemua pasukan dan pemain selewat-lewatnya 22 April ini.

“Sekiranya tiada penyelesaian yang dicapai pada tempoh yang ditetapkan, perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan. Pasukan dan MFL diingatkan supaya tidak mengambil keputusan di sebelah pihak tanpa merujuk terlebih dahulu kepada FAM.

“Di samping itu, pasukan dan MFL diminta memenuhi segala syarat yang bakal ditetapkan FAM sebelum sesuatu kes diterima untuk tujuan penyelesaian,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This