Jangan terpedaya ubat kononnya mampu sembuhkan COVID-19 – Dr Noor Hisham

Jangan terpedaya ubat kononnya mampu sembuhkan COVID-19 – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 22 Okt — Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan COVID-19.

Katanya sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan COVID-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.

“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (COVID-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan kononnya mampu menyembuhkan COVID-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.

Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual dengan harga RM12.

Isnin lepas, Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit COVID-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu.

Menurutnya, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti-malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This