JAS syor roboh kilang haram e-sisa di kampung Orang Asli

JAS syor roboh kilang haram e-sisa di kampung Orang Asli

KUANTAN,. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesyorkan supaya kilang kitar semula e-sisa yang beroperasi secara haram di Kampung Orang Asli Mikang, Muadzam Shah di Rompin sehingga menimbulkan pencemaran bau dirobohkan.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan di sini pada Selasa memaklumkan syor itu diajukan kepada pihak berkuasa tempatan melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah atas alasan aktiviti itu tidak sesuai di lokasi berkenaan.

“JAS telah mengeluarkan arahan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis terlibat mulai semalam, selain turut mengeluarkan empat kompaun ke atas pemilik tanah,” menurut kenyataan itu.

KASA juga memaklumkan siasatan di premis berkenaan juga menemui alat pembakaran bahan api yang dilengkapi dengan cerobong dan dua alat janakuasa dipercayai digunakan untuk meleburkan e-sisa iaitu papan litar, wayar elektrik dan elektronik untuk dijadikan jongkong.

Sehubungan itu, lima sampel bahan mentah telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis komposisi kimia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34A dan 34aB Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi aktiviti menerima, menempatkan, meletakkan dan meleburkan e-sisa tanpa kelulusan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Orang awam diminta melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau menerusi e-mel ke [email protected] serta melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )