Jasad tiga mangsa insiden Triso ditempatkan di Rumah Mayat Sibu

Jasad tiga mangsa insiden Triso ditempatkan di Rumah Mayat Sibu

SIBU,. Jasad tiga mangsa insiden Pangkalan Feri Triso tiba di Rumah Mayat Sibu di Jalan Bukit Lima, pada lebih kurang pukul 1 pagi tadi dengan dua van jenazah.

Setibanya di pusat pengurusan mayat itu, jasad Lorna Ting, 33, dan dua anaknya Alvin Phang, 12 , dan Wallace Phang, 7, disambut oleh Phang Wei Beng, suami dan ayah kepada mangsa tersebut.

Menurut ketua rombongan pembawa van jenazah tersebut Mohammad Sepian Abg Daud, mereka bertolak dari Hospital Sri Aman pada lebih kurang 8.00 malam, selepas selesai upacara sembahyang khas untuk ketiga-tiga mangsa itu.

Jasad tiga beranak tersebut akan ditempatkan di pusat pengurusan mayat itu, bagi membolehkan saudara mara datang untuk menziarahi sebelum dibawa ke Taman Peringatan Nirvana untuk dibakar pada pagi Selasa.

Mereka adalah sebahagian daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia, apabila sebuah kenderaan pacuan terjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, petang Jumaat lalu.

Kakak kepada Lorna, Siti Aishah Abdullah, 36, dan lima anak beliau – Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16; Khairunnisa, 14; Mohd Aiman, tujuh, Muhd Mustaqim, lima, dan Mohd Ahmad, empat bulan, telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Hulu di Sri Aman pada lebih kurang 6.22 petang.

Pengkebumian itu telah dihadiri oleh suami Siti Aishah, Mohamad Hamzah Razali, saudara mara dan rakan-rakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This