Jenazah empat beranak maut di New Zealand dikebumi Selasa

KOTA KINABALU,. Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas akan dikebumikan pada jam 6.30 pagi Selasa (waktu Malaysia).

Perkara itu disahkan oleh Afifah Shaiffuddin, 33, anak saudara Allahyarham Dr Rumihati Abd Hamid, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang berada di negara berkenaan, pada Isnin.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, keempat-empat jenazah itu akan disemadikan berhampiran Memorial Christchurch, New Zealand, lokasi berlakunya tragedi berdarah Christchurch pada Mac lepas.

Katanya solat jenazah ghaib di beberapa buah masjid di Putatan dan Kota Kinabalu akan diadakan selepas solat Maghrib.

“Kami mengharapkan ada masjid atau surau yang boleh melakukan solat jenazah ghaib untuk disedekahkan kepada mangsa yang terlibat,” katanya ketika ditemui di kediaman ahli keluarganya di Kampung Ulu Putatan.

Sementara itu, Afifah berkata Nur Arifah Bahiyah, 11, anak bongsu Allahyarham Dr Rumihati yang terselamat dalam tragedi terbabit, sudah mulai sedar dan masih menerima rawatan di Hospital Wellington.

“Setakat yang kami dapat maklumat daripada doktor di sana, kemungkinan besar dia perlu berada di hospital dalam empat minggu lagi,” katanya.

Kemalangan itu mengorbankan Dr Rumihati, 49, dan suaminya, Adanan Jemain, 49, serta dua anak mereka, Nur Irfan, 15 dan Maisarah Arifah, 13.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )