Jenazah Mej Mohd Zahir, selamat dikebumi di Tambun

IPOH,. Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini hari ini.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi, mengiringi pengebumian jenazah kira-kira pukul 8.20 pagi yang sebelum itu disembahyangkan di kediaman ibu mentua Allahyarham di Taman Perpaduan, Tambun.

Solat jenazah dan solat subuh diimamkan Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap. Turut sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Terdahulu, jenazah arwah tiba kira-kira pukul 5.45 dari Kem Werdiburn, Jalan Genting Klang, setapak dengan disambut ahli keluarga, kenalan serta jiran tetangga yang menunggu seawal pukul 3 pagi.

Mohd Zahir, 36, merupakan pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur merupakan seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika ditemui secara peribadi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wira kepada dirinya.

“Semangat Allahyarham akan sentiasa saya kenang. Didoakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )