Jentera pilihan raya PAS perlu guna media sosial untuk berkempen pada PRN Melaka

Jentera pilihan raya PAS perlu guna media sosial untuk berkempen pada PRN Melaka

ALOR SETAR, 11 Nov — Semua calon PAS yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini diingatkan supaya menggunakan platform media sosial sepenuhnya bagi mendekati pengundi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata PAS tidak berdepan masalah menggunakan media sosial sebagai norma baharu kaedah berkempen bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang melarang berkempen menerusi ceramah dan syarahan serta secara fizikal ziarah rumah ke rumah dan secara tinjauan mesra.

“Saya telah pesan kepada semua jentera untuk berkempen dalam norma baharu seperti yang telah dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mereka sedang sesuaikan diri dengan berkempen menggunakan media sosial.

Program kempen secara terbuka pun tidak dapat dibuat, rasa selamatlah sikit. Bagi PAS, kami memang tiada masalah dan dapat kenalkan calon melalui media sosial dengan baik,” katanya kepada selepas merasmikan Program Wacana Eksekutif Perundangan Perancangan sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 peringkat negeri di sini hari ini.

Program itu bertujuan memberikan maklumat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai perancangan dalam usaha memacu, menggalakkan serta mengawal pembangunan di kawasan PBT.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah yakin rakyat terutamanya pengundi Melaka akan bijak memilih dan sudah sedia maklum dengan prestasi semua parti yang bertanding.

“Semua sudah tahu prestasi parti di negara ini, rakyat akan tengok calon sebelum membuat pilihan. Calon memang nombor satu yang akan dilihat oleh rakyat tetapi dari parti mana pun akan dilihat juga.

Semua tahu rekod parti-parti lain, yang ada kes mahkamah la, apa la…jadi, parti itu sendiri pun main peranan penting sebab ia akan jadi penentu kepada calon itu untuk menang,” katanya.

PAS meletakkan lapan calon di PRN Melaka di atas tiket Perikatan Nasional (PN), iaitu Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek di DUN Duyong, Muhammad Al Afiz Yahya di DUN Bukit Katil, Abu Hashim Abdul Samad di DUN Taboh Naning, Ja’afar Othman di DUN Durian Tunggal, Ahmad Bilal Rahudin di DUN Serkam, Bakri Jamaluddin di DUN Kelebang, Aziah Mohd Sa’ad di DUN Kuala Linggi dan Abd Alim Shapie di DUN Merlimau.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This