Jerebu: 145 buah sekolah di Selangor ditutup
SHAH ALAM,. Sebanyak 145 buah sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana akan ditutup esok akibat keadaan jerebu yang semakin serius di negeri ini.
Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan terbarunya di sini malam ini, memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan 23 buah sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 buah sekolah di Petaling Perdana.
“Seramai 187,928 orang pelajar terlibat dalam penutupan sekolah esok dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” menurut kenyataan itu.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 11 malam ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Klang (175) dan Banting (167) dan Shah Alam (185).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
–BERNAMA