Jerebu: operasi LTSAS kembali lancar
IPOH,. Kesemua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hari ini berjalan lancar selepas terjejas semalam akibat jerebu.
Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata kesemua penerbangan yang ditunda semalam akibat jerebu telah dijadualkan semula untuk penerbangan pada hari ini.
“Sementara itu, penerbangan hari ini beroperasi seperti biasa cuma waktunya dianjakkan sedikit. Hari ini operasi di LTSAS berjalan dengan lancar dan diharap keadaan itu berterusan.
“Penerbangan pertama yang tiba di LTSAS hari ini adalah pesawat AirAsia dari Johor Bahru yang tiba pada pukul 9 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang penumpang pesawat syarikat tambang murah Singapura, FlyScoot, yang ingin dikenali sebagai Shameera, 38, berkata beliau lega penerbangannya dapat diteruskan hari ini.
“Sepatututnya semalam saya berlepas pada 9.40 pagi ke Singapura namun ditunda akibat jerebu, Alhamdulillah hari ini ia dijadualkan semula pada 10.45 pagi.
“Awal pagi tadi agak risau sekiranya penerbangan ditunda lagi sebab anak-anak perlu bersekolah,” katanya.
Semalam, seramai 549 penumpang terkandas di LTSAS berikutan tiga penerbangan melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd; laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh (Malindo) dan FlyScoot iaitu laluan Singapura-Ipoh-Singapura, tergendala akibat jerebu.
Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua kawasan bandaraya ini mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Tasek (126) dan Pegoh (112), setakat pukul 11 pagi ini.
— BERNAMA