JHS mencipta sejarah dengan mengeluarkan lesen karbon pertama
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mencipta sejarah dengan mengeluarkan lesen karbon pertamanya, satu langkah penting dalam memajukan agenda iklim dan kelestarian negeri. Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad menyerahkan lesen tersebut kepada wakil SaraCarbon Sdn Bhd Franscois Blignaut pada satu majlis di sini, hari ini.
Majlis penyerahan lesen karbon itu yang diadakan di Ibu Pejabat JHS, Bangunan Baitul Makmur II di sini, turut disaksikan pegawai-pegawai kanan JHS dan pihak pengurusan tertinggi Kumpulan Samling.
JHS dalam kenyataan berkata, SaraCarbon Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Samling, muncul sebagai peneraju dalam inisiatif karbon hutan di Sarawak. Katanya, ia merupakan syarikat pertama di Sarawak yang menerima permit kajian karbon hutan semasa Persidangan Karbon Asia 2023.
“Projek sulung syarikat itu iaitu Projek Pemuliharaan dan Pemulihan Hutan Marudi di Miri, bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mempromosikan pengurusan hutan lestari.
“Dengan mematuhi piawaian antarabangsa termasuk Verra, SaraCarbon berhasrat menghasilkan kredit karbon berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global,” ujarnya.
Menurut JHS, usaha itu bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar tetapi turut membuka peluang ekonomi, sejajar dengan objektif strategik Sarawak menjadikan perdagangan karbon sebagai sektor ekonomi yang berdaya maju.
“Langkah sebegini mencerminkan pendekatan progresif Sarawak dalam menangani perubahan iklim melalui dasar inovatif dan rangka kerja yang praktikal,” katanya.
JHS menegaskan, kepimpinan Sarawak dalam menggubal undang-undang untuk perdagangan karbon mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam mengintegrasikan kelestarian ke dalam pembangunan ekonomi.
Projek-projek SaraCarbon menyerlahkan potensi memanfaatkan sumber semula jadi secara bertanggungjawab, memastikan manfaat jangka panjang untuk alam sekitar dan komuniti setempat
-Agensi