JKNS hargai komitmen pelajar pilih dikuarantin sukarela – Dr Christina

JKNS hargai komitmen pelajar pilih dikuarantin sukarela – Dr Christina

KOTA KINABALU,. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menghargai komitmen pelajar-pelajar Sabah yang mahu dikuarantin secara sukarela di pusat kuarantin selama 14 hari terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.

Pengarahnya Datuk Dr Christina Rundi berkata perkara itu dimaklumkan oleh beberapa pejabat kesihatan di negeri ini bahawa terdapat pelajar yang baru pulang ke Sabah memilih untuk berbuat demikian.

“Pelajar-pelajar ini faham akan risiko (jangkitan) terhadap ahli keluarga mereka yang terdiri daripada golongan berisiko. JKNS amat menghargai keputusan dibuat oleh pelajar-pelajar terbabit kerana sanggup untuk sama-sama memikul tanggungjawab yang berat ini,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Christina berkata setiap daerah juga komited melaksanakan pengurusan pergerakan pelajar balik ke kampung dengan penuh tanggungjawab termasuk dengan menilai semula kesesuaian kuarantin di rumah dan saringan gejala bagi pelajar yang merentas sempadan sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Sekali lagi JKNS ingin mengingatkan semua pelajar yang menjalani kuarantin di rumah supaya menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran demi melindungi keluarga tercinta. Mana-mana pelajar didapati melanggar perintah ini akan dimasukkan ke pusat kuarantin untuk pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Dr Christina berkata JKNS berharap landasan media digunakan sepenuhnya untuk membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat sejagat semasa wabak COVID-19.

Ini termasuk menerapkan kelaziman baharu seperti penjarakan sosial, menggunakan penutup mulut dan hidung serta mengamalkan kebersihan tangan, katanya sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2020 yang disambut pada Ahad.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This