JKNS tawar perkhidmatan psikoedukasi bantu atasi masalah mental hadapi COVID-19

JKNS tawar perkhidmatan psikoedukasi bantu atasi masalah mental hadapi COVID-19

KOTA KINABALU,. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menawarkan perkhidmatan Psikoedukasi, kepada mereka yang mengalami gangguan kesihatan mental, ketika berdepan pelbagai cabaran berkaitan penularan wabak COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi dalam kenyataan memaklumkan, JKNS setakat ini telah memberikan 1,461 psikoedukasi kepada orang awam dan anggota kesihatan, bagi memastikan mereka tenang menghadapi dugaan COVID-19.

Beliau berkata, psikoedukasi merupakan perkhidmatan penerangan dan informasi kepada seseorang individu yang sedang mengalami gangguan kesihatan mental, bagi membantu mereka mengatasi cabaran hidup dalam situasi yang selamat.

Katanya, JKNS amat mengambil berat berkaitan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negeri ini, terutama dalam situasi penularan COVId-19 kini.

Dalam pada itu, Dr Christina menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang Peralatan Perlindungan Diri (PPE), keperluan makmal, peralatan perubatan dan bukan perubatan, kepada fasiliti kesihatan negeri Sabah.

“Keprihatinan dan sokongan sedemikian meningkatkan lagi motivasi dan semangat kerja semua anggota kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This