Johor tubuh pusat penilaian COVID-19

Johor tubuh pusat penilaian COVID-19

JOHOR BAHRU, 13 Jan — Kerajaan negeri Johor menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan Bukit Indah di sini, bagi membantu pesakit mendapatkan nasihat dan penilaian awal sebelum dimasukkan ke hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor R. Vidyananthan berkata ia ditubuhkan Ahad lepas berdasarkan keperluan.

Penubuhan pusat itu dijangka membantu dalam membina polisi yang lengkap bagi pengurusan pesakit positif COVID-19 meliputi perawatan di rumah, dalam komuniti dan juga di hospital.

“Setakat pukul 5 petang semalam, seramai 371 pesakit telah datang ke pusat ini. Daripada jumlah tersebut, 73 orang sesuai untuk pemantauan di rumah sebelum kemasukan ke hospital, 51 dirujuk ke hospital dan 241 telah discaj,” katanya.

Johor merupakan negeri yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Jan.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKP di enam negeri berkata negeri-negeri yang dikenakan PKP merupakan negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Semalam, Johor merekodkan 442 kes baharu menjadikan kes kumulatif di negeri ini ialah 10,761 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This