JPN tubuh pasukan petugas khas semak status rakyat berumur 90 tahun ke atas
PUTRAJAYA,. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak dan mengemas kini maklumat serta status rakyat Malaysia berumur 90 tahun ke atas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia susulan dakwaan ada rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia tidak didaftarkan kematian mereka dalam sistem JPN khususnya mereka yang berumur 90 tahun ke atas.
Hamzah berkata pasukan itu akan menyemak dan mengemas kini maklumat serta status individu berkenaan bagi mengesahkan status sebenar mereka, sama ada masih hidup atau meninggal dunia.
Menurut beliau, antara pendekatan yang digunakan JPN untuk pengesahan status adalah dengan menghubungi waris terdekat dan mencari mereka di alamat terakhir yang didaftarkan dengan JPN.
“Sekiranya mendapati mereka telah meninggal dunia berdasarkan pengesahan waris atau pihak-pihak tertentu, maka JPN akan mendaftarkan kematian mereka berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada,” katanya pada majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-73 yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Berdasarkan rekod JPN, katanya terdapat 63,620 individu yang berusia 90 tahun ke atas yang masih hidup.
Mengenai urusan pendaftaran pengundi yang berumur 18 tahun, Hamzah berkata JPN sentiasa bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan proses itu.
“JPN sentiasa membantu dan memberikan akses sistem JPN kepada pihak SPR untuk mendapatkan maklumat individu yang layak mengundi serta bagi proses pendaftaran dan semakan daftar pengundi,” katanya.
Hamzah dalam pada itu berkata JPN akan terus memperkasa inisiatif turun padang seperti program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang bertujuan membantu rakyat tidak berkeupayaan untuk hadir berurusan di pejabat JPN bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.
Menurutnya, JPN telah menjalankan 4,116 Program Mekar dalam tempoh 2017 hingga 2021, dengan sejumlah 104,517 permohonan diterima merangkumi urusan kad pengenalan, kelahiran dan kematian.
— BERNAMA