JTK kenakan kompaun RM1.2 juta sejak 1 Jun lepas, kata Saravanan

JTK kenakan kompaun RM1.2 juta sejak 1 Jun lepas, kata Saravanan

KUALA LUMPUR,. Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTK) mengeluarkan kompaun bernilai RM1. 2 juta kepada pengusaha kilang dan majikan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jun sehingga kelmarin.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata 1,175 pemeriksaan dijalankan bagi memastikan para pengilang serta majikan mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh majikan ialah tidak mematuhi arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan mengarahkan pekerja datang ke tempat kerja menjangkau 60 hingga 80 peratus, berbanding 30 hingga 40 peratus yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, kesalahan serius lain ialah memalsukan makumat bagi memohon kebenaran beroperasi dengan menyatakan maklumat perkhidmatan penting sedangkan sebaliknya ia semata-mata untuk mendapat kelulusan beroperasi.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Puchong, Selangor, dekat sini beliau berkata, premis kilang yang didapati memalsukan dokumen mengenai kebenaran beroperasi akan diarah tutup serta-merta.

Saravanan seterusnya mengingatkan pengusaha industri terlibat agar mematuhi SOP yang dijalankan kerana JTK akan terus melakukan penguatkuasaan secara agresif agar jangkitan kluster COVID-19 di tempat kerja dapat dikawal.

Sementara itu, Saravanan berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan supaya bayaran levi untuk pekerja asing dipindahkan kembali kepada majikan untuk menanggung kos ujian saringan COVID-19 pekerja asing mereka.

“Ini supaya ia (bayaran levi) boleh digunakan untuk saringan lebih kerap. Saya telah cadangkan kepada menteri kewangan tunggulah keputusan menteri kewangan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This