Jualan aksesori kesihatan di Lazada meningkat 66 kali ekoran jerebu

KUALA LUMPUR,. Penjualan aksesori kesihatan di Lazada meningkat sebanyak 66 kali ketika rakyat Malaysia berdepan dengan bencana jerebu.

Lazada berkata sebanyak 36,000 topeng muka terjual dalam tempoh kurang daripada 48 jam pada hari Ahad dan Isnin lepas semasa jualan ‘Keep The Haze Away’ Lazada apabila paras jerebu mencecah Indeks Pencemaran Udara (IPU) “Sangat Tidak Sihat” di lebih 230 kawasan di seluruh negara.

Semasa jualan itu, topeng muka terjual 18 kali lebih banyak berbanding hari biasa dan jualan penapis udara meningkat sebanyak 10 kali.

Penapis udara merupakan antara tiga carian paling utama bagi barangan di bawah kategori Perkakas Rumah, dengan produk jenis ini di TechMall dan LazMall habis terjual dalam tempoh 20 jam jualan.

Jualan itu merupakan usaha Lazada untuk menurunkan harga topeng muka dan produk kawalan kualiti udara lain pada ketika permintaan dan harga melonjak.

“Kami bekerjasama dengan jenama dan penjual kami yang sentiasa memberi sokongan untuk menyediakan tawaran terbaik bagi pelanggan kami kerana keselamatan tidak sepatutnya menjadi satu komoditi, dan harga tidak seharusnya meningkat hanya kerana permintaan tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow dalam satu kenyataan hari ini.

Ini menunjukkan peningkatan keutamaan pelanggan untuk mencari penyelesaian digital bagi keperluan gaya hidup mereka, disokong oleh kemudahan yang disediakan oleh platform e-dagang seperti Lazada, kata Chow.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )