Jualan kenderaan pada Ogos susut 22 peratus – MAA

KUALA LUMPUR,. Jumlah jualan kenderaan di Malaysia berkurangan sebanyak 22 peratus kepada 51,148 unit pada Ogos 2019 berbanding 65,550 unit bagi tempoh sama, tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata daripada jumlah itu, sebanyak 46,802 unit merupakan kenderaan penumpang manakala selebihnya adalah jenis komersial.

Menurut MAA, penurunan itu disebabkan oleh faktor tempoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar pada Ogos 2018 yang menyaksikan peningkatan transaksi jualan kenderaan.

Pengeluaran kenderaan juga berkurangan kepada 47,000 unit pada Ogos 2019 daripada 47,387 yang dicatatkan pada setahun lepas.

Sementara itu, MAA menjangkakan jumlah jualan kenderaan bagi bulan ini akan kekal menyamai paras Ogos 2019 berikutan jumlah hari bekerja yang berkurangan akibat cuti umum yang banyak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )