Jualan Perdagangan borong dan runcit oktober 2021 catat semula paras sebelum pandemik

Jualan Perdagangan borong dan runcit oktober 2021 catat semula paras sebelum pandemik

KUALA LUMPUR,. Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat semula 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021, mencapai paras tertinggi yang pernah direkodkan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.4 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM55.8 bilion pada Oktober 2021.

“Perdagangan runcit juga berkembang 5.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM46.5 bilion. Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor kembali positif dengan 10.2 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM14.2 bilion, selepas beberapa siri pertumbuhan negatif dua digit sejak Jun 2021,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia bagi mengulas Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Oktober 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Beliau berkata bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 7.7 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan juga kebenaran rentas negeri bermula 11 Okt, 2021.

Mengenai prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata pertumbuhan subsektor perdagangan borong sebanyak 4.4 peratus pada Oktober 2021 disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 10.6 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM11.2 bilion.

Beliau berkata ini diikuti oleh lain-lain pengkhususan jualan borong dengan 5.1 peratus untuk mencatatkan RM22.1 bilion.

“Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga meningkat 13.1 peratus kepada RM4.7 bilion, didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi. Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 5.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagi subsektor perdagangan runcit pula, kenaikan 5.1 peratus disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan peningkatan 8.2 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM17.2 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut mencatat pertumbuhan positif ialah jualan runcit bahan api kenderaan 17.8 peratus; jualan runcit makanan, minuman dan tembakau 8.7 peratus; jualan runcit barangan isi rumah 3.8 peratus; jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar 28.6 peratus; jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi 4.8 peratus; jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi 0.6 peratus dan jualan runcit di gerai dan pasar 11.4 peratus, katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, jualan runcit di kedai pengkhususan masih negatif untuk bulan kelima berturut-turut dengan -3.9 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit meningkat 4.8 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif, katanya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan 10.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat semula 25.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM9.1 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan 1.2 peratus untuk mencatatkan RM1.1 bilion. Sebaliknya, jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor terus mencatatkan pertumbuhan negatif masing-masing -12.3 peratus dan -11.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata pada asas sebulan, jualan subsektor ini meningkat 31.2 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan 40.2 peratus.

Indeks jualan runcit melalui Internet merekodkan pertumbuhan 24.6 peratus tahun ke tahun (September 2021: 18.1 peratus) dan bagi nilai pelarasan musim, indeks ini meningkat 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, katanya.

Beliau berkata bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.3 peratus.

Mohd Uzir juga berkata pengembangan itu disumbangkan oleh kenderaan bermotor yang meningkat 7.0 peratus, diikuti oleh perdagangan runcit dengan 2.2 peratus.

“Bagaimanapun, perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan negatif -1.2 peratus. Sementara itu, indeks volum pelarasan musim meningkat 5.9 peratus bulan ke bulan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This